MELIHAT kuih gandus ternyata membuat Nasir Hanif, 68, mengingati zaman kanak-kanaknya.
Menurut Nasir, sewaktu dia berumur sembilan tahun, dia sudah menikmati kuih tersebut.
“Malah, pada tahun 1970-an dan 1980-an ramai yang menjual kuih ini, tetapi kini tidak lagi mudah untuk mencari peniaga yang menjual kuih ini,” katanya kepada K2.
Sudah lama dia mencari kuih itu, namun baru-baru ini ketika melalui jalan di sekitar Keramat, Kuala Lumpur, Nasir melihat ada gerai yang menjual kuih gandus tersebut di pinggir jalan.
Dia lantas singgah ke gerai itu untuk membeli kuih tersebut.
“Kuih ini mempunyai keunikan rasanya yang tersendiri di mana ia mempunyai gabungan manis dan berlemak.
“Selain itu, kuih gandus ini juga strukturnya lembut dan enak untuk dimakan,” jelasnya.
Kuih gandus merupakan kuih tradisional yang sukar didapati dan semakin dilupakan. Mungkin ramai juga dalam kalangan kita terutama generasi baharu yang tidak tahu kewujudan kuih dengan nama sedemikian.
Menyedari akan keunikan yang ada pada kuih gandus telah mendorong Noor Azleen Jamalludin dan suaminya Mohd. Zain Ahmad berniaga kuih tersebut di Keramat.
Noor Azleen, 45, berkata, tidak ramai yang mengetahui akan kuih gandus ini, malah tidak banyak peniaga yang masih menjualnya.
“Saya melihat akan kesempatan ini dan mengambil keputusan untuk menjualnya. Kuih ini kini menjadi sumber pendapatan buat saya sekeluarga.
“Mungkin sesetengah orang terutama generasi masa kini tidak mengenali akan kuih gandus ini, tetapi sebenarnya kuih ini masih ada peminatnya yang tersendiri,” ujarnya.
Berbicara tentang bahan yang digunakan untuk menghasilkan kuih gandus, Noor Azleen berkata, kuih tersebut hanya menggunakan tiga bahan utama iaitu tepung gandum, kelapa parut dan juga jem nanas yang dijadikan inti.
Untuk menyediakan kuih tersebut, tepung gandum akan dibancuh bersama dengan kelapa parut.
“Setelah dibancuh, adunan ini kemudian akan dituang ke dalam acuan khas berbentuk bulat dihasilkan daripada tembaga yang telah siap diletakkan di atas kuali.
“Acuan khas itu akan diisi dengan separuh adunan terlebih dahulu sebelum jem nanas diletakkan pada bahagian tengah dan kemudian akan diletakkan lagi adunan tersebut di bahagian atasnya,” terang Noor Azleen.
Kemudian adunan di dalam acuan itu akan dimasak selama 30 minit bagi memastikan ia benar-benar masak pada bahagian dalam.
Malah, dalam mendapatkan kuih gandus yang baik, bancuhan tepung yang tepat juga amat memainkan peranan.
Gabungan kesemua bahan-bahan tersebut akan menjadikan kuih itu mempunyai rasa berlemak dan manis.
Menurutnya, cabaran utama yang dihadapi mereka dalam menjual kuih tersebut adalah tempoh masa yang agak lama.
Noor Azleen mengakui, kadangkala para pelanggannya terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kuih tersebut.
“Untuk memastikan kuih gandus ini masak dengan sempurna, ia perlu dimasak selama 30 minit dan mungkin sebab ini juga ramai peniaga tidak mahu menjualnya.
“Selain itu, selepas diangkat dari kuali kuih gandus ini perlu dibiarkan sebentar agar sejuk sebelum ia ditanggalkan dari acuan,” jelasnya.
Malah katanya, acuan tersebut juga perlu dibasuh setiap selepas proses memasak bagi memastikan kuih gandus dihasilkan kemudian tidak melekat.
Noor Azleen berkata, setiap hari dia akan menggunakan lima kilogram tepung bagi menghasilkan kuih gandus tersebut.

Daripada jumlah itu, dia mampu menghasilkan lebih 400 butir kuih gandus yang dijual pada harga RM3 untuk satu bungkus yang mempunyai empat biji kuih tersebut.
Kebiasaannya, kuih-kuih ini akan habis terjual.
Menceritakan kembali bagaimana mereka boleh terlibat dalam perniagaan kuih gandus, Noor Azleen berkata, semuanya dimulakan pada tahun 2017.
Kongsinya, sebelum itu mereka hanya menjual pisang goreng dan menjelang bulan puasa dia merasakan mereka perlu menghasilkan sesuatu yang lain.
“Saya mencari idea kuih apa yang boleh dijual pada bulan puasa selain pisang goreng dan dari situ ayah saya memberi cadangan untuk menjual kuih gandus kerana kawannya mahir menghasilkan kuih tersebut.
“Kawan ayah saya sebelum ini pernah menjual kuih gandus di Keramat dan jualannya amat terkenal sehingga pernah mendapat liputan media, tetapi selepas itu dia tidak mengusahakannya lagi.
“Malah, ketika saya kecil, saya juga pernah merasai kuih gandus yang dihasilkan olehnya,” katanya.
Tambah Noor Azleen, dia kemudian menuntut ilmu dan belajar pembuatan gandus dengan kawan bapanya itu.
Bermula dari itu, mereka terus menjual kuih gandus tersebut sehingga kini.
Noor Azleen ada bertanya akan asal usul kuih tersebut kepada rakan bapanya yang memberikan resipi tersebut, tetapi tidak banyak yang diceritakan tentang asal usul kuih ini.
Noor Azleen mengakui, kini kebanyakan pelanggannya melangkaui beberapa generasi, dari tua sehingga muda.
“Mereka mengakui bahawa kuih tersebut sukar untuk didapati pada masa kini,” terangnya.
Noor Azleen memberitahu, dia dan suami menjual kuih gandus tersebut di Keramat dan juga di Tangkak, Johor.
Di Keramat, dia hanya menjual pada hari Selasa dan Rabu, manakala di Tangkak, Johor mereka menjual dari Jumaat hingga Ahad.
Selain menggunakan jem nanas, mereka turut menghasilkan kuih gandus dengan perisa sambal.
“Oleh kerana kami turut menjualnya di Tangkak, kami mengolah sedikit kuih gandus ini dengan meletakkan perisa sambal sebagai inti.
“Ini kerana di Tangkak kebanyakan suka makan pedas dan kami melakukan sedikit inovasi dengan menyediakan rasa yang sedemikian buat kuih gandus ini,” jelasnya.














