fbpx

Ukraine berubah jadi negara periuk api, jerangkap samar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERIUK api dilihat di satu laluan utama menuju ke Kherson di Ukraine pada November 2022. – Agensi

KIEV  –  Konflik berdarah berlarutan menyaksikan landskap Ukraine dicemari dan dipenuhi periuk api yang mendatangkan ancaman maut kepada orang awam sekali pun bertahun-tahun selepas perang tamat.

Menurut saluran berita SkyNews, Ukraine kini merupakan antara negara paling banyak tertanam periuk api di dunia, melibatkan lebih 40 peratus kawasannya.

Bandar-bandar yang dibebaskan daripada penguasaan Russia di Ukraine kekal berbahaya untuk satu tempoh yang lama. Situasi ini disahkan dengan penemuan banyak periuk api dan jerangkap samar. Tentera Ukraine, malah menemui bahan letupan pemusnah kereta kebal yang sedia untuk meletup.

“Pencemaran periuk api di Ukraine amat besar. Ia sungguh besar malah, jauh lebih besar walaupun dibandingkan dengan Syria atau Afghanistan,” kata Kateryna Templeton daripada Kumpulan Penasihat Periuk Api (MAG) kepada Sky News.

Organisasi kemanusiaan antarabangsa itu bertanggungjawab untuk mencari, mengalihkan dan memusnahkan periuk api serta bahan letupan lain di zon konflik.

Undang-undang antarabangsa melarang penggunaan pelbagai periuk api, terutamanya jenis yang direka untuk meragut nyawa manusia.

Tentera Russia dituduh oleh pertubuhan hak asasi antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) sebagai menggunakan periuk api yang diharamkan di rantau Kharkiv, timur Ukraine.

Pelbagai jenis periuk api ditanam di Ukraine dengan sesetengahnya tidak pernah dilihat di medan tempur sebelum ini.

“Anda boleh menemui periuk api antikereta kebal, periuk api antiaskar dan jerangkap samar. Anda boleh melihat banyak bom atau misil yang tidak meletup. Anda juga boleh melihat bom berangkai. Semua periuk api yang anda bayangkan ada di Ukraine,” kata  Kateryna.

HRW melaporkan bahawa sebilangan periuk api di Ukraine ditanam sebelum perang pada Februari 2022 dengan militia pro- Russia menanam pelbagai bahan letupan itu di Donetsk serta Luhansk dalam tahun 2014 hingga 2015 dan seterusnya.

Menurut MAG pula, dalam tempoh enam tahun antara 2014 hingga 2020, terdapat 1,190 kematian berkaitan periuk api di Ukraine.

Antara 24 Februari 2022 hingga 10 Januari 2023 pula, sebanyak  611 kematian dan kecederaan yang  direkodkan, berpunca daripada periuk api.

Selain mengakibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa, periuk api juga menjadi punca kawasan yang luas tidak dapat digunakan untuk bercucuk tanam sehingga menjejaskan sektor agrikultur. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI