fbpx

KJ cari kelab sesuai, akui terima pelbagai tawaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak menolak berkemungkinan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sama ada sebagai calon bebas atau menjadi ahli mana-mana parti politik di negara ini.

Menurutnya, pada masa ini beliau belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik selain mengakui ada pelbagai pihak yang menawarkannya peluang bukan hanya politik, bahkan bidang akademik dan korporat.

“Selepas saya kalah di kerusi Parlimen Sungai Buloh dan dibuang parti, saya menerima pelbagai tawaran dan berterima kasih terhadap peluang-peluang tersebut. Ianya (tawaran) pelbagai iaitu daripada politik, akademik, malah korporat.

“Saya sangat cintakan bola sepak, saya ‘free transfer’ sekarang ini. Saya mencari kelab dan meneliti setiap pilihan tersebut yang sesuai untuk saya bergerak ke hadapan. Bagaimanapun ia bukan keputusan yang boleh dibuat secara ringan.

“Ia sesuatu yang serius misalnya bisnes atau politik. Sudah tentu saya masih mahu terlibat dengan politik, tapi bilakah untuk berada di barisan hadapan politik, saya perlukan masa,” katanya menerusi temu bual bahasa Inggeris rancangan The Breakfast Grille dikendalikan saluran radio BFM.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Kesihatan memberikan contoh, bertanding di PRN adalah salah satu peluang untuk menonjolkan diri.

“Semua peluang-peluang tersebut ada ‘di atas meja’, tapi saya perlu melihat dan mengkajinya terlebih dahulu. Selama 23 tahun hidup saya dalam satu parti politik sahaja, jadi sukar untuk saya teruskan ke hadapan.

“Sepanjang pengetahuan saya, saya dibuang daripada parti. Justeru saya perlu selaraskan semula dengan realiti,” katanya.

Ditanya kriteria sesuatu parti yang dicari sekiranya menyertai parti politik lain, beliau menjelaskan, ia mesti sejajar dengan wawasannya sendiri untuk negara iaitu bersifat inklusif, progresif serta berkaitan tadbir urus yang baik.

“Mesti selesa dan ada keserasian. Sudah tentu menyertai parti baharu akan membuatkan rasa janggal pada mulanya, tapi itulah politik iaitu memenangi hati setiap orang. Dalam masa sama ia mesti sejajar dengan wawasan anda,” katanya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sangat terbuka dan bersedia mendengar penjelasan mana-mana pihak yang ingin berjumpa dengannya.

“Saya akan mendengar setiap orang yang hendak berjumpa dengan saya. Saya akan dengar apa yang mereka hendak cakap, tapi mesej saya ialah jangan terburu-buru. Saya sangat terbuka kepada sesiapa yang mahu berjumpa saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI