fbpx

Waktu puncak LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, monorel dipanjangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Waktu operasi Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Monorel Kuala Lumpur akan dipanjangkan pada waktu puncak bermula esok.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan berkata, pemanjangan operasi waktu puncak itu bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna susulan gangguan perkhidmatan antara dua stesen iaitu LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek.

“Pengguna juga dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen rel khususnya di stesen pertukaran LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Hang Tuah.

“Waktu puncak pagi akan dipanjangkan dari pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal iaitu 7 pagi hingga 9.30 pagi,” katanya di sini, hari ini.

Bagi waktu puncak petang pula, operasi akan dipanjangkan dari pukul 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding jadual asal iaitu 5 petang hingga 7.30 malam.

Kelmarin, laluan antara stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya terpaksa ditutup disebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Susulan itu, bagi melancarkan perjalanan dan pergerakan penumpang, Rapid KL juga menambah bilangan kakitangan sokongan berjumlah hampir 100 orang bagi mengawal dan membantu penumpang yang memerlukan bantuan di stesen rel.

“Inisiatif ini adalah komitmen Rapid KL dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna adalah sentiasa dalam tahap terbaik.

“Prasarana memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan amat menghargai sokongan dan kesabaran anda. Keselamatan penumpang menjadi keutamaan pihak kami,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI