fbpx

Pantai Sungai Kajang jangka dibuka semula masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkafperi (tengah) menunjukkan surat rasmi kepada JPNS ketika meninjau Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang, Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR – Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang yang disita sejak 10 Januari lalu dijangka akan dibuka semula kepada orang awam dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi berkata, persetujuan itu dimaklumkan menerusi pertemuan beliau dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid pada Rabu lalu.

Kata beliau, tindakan penarikan sitaan itu antara langkah jangka masa pendek bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Pertemuan khas itu membincangkan pelbagai isu mengenai Pantai Sungai Kajang termasuk melibatkan penyelesaian jangka panjang. Saya sudah membuat surat rasmi untuk diserahkan kepada JPNS esok dan pantai itu akan dibuka secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pantai itu, hari ini.

Kosmo! pada 20 Januari lalu melaporkan semua pihak diminta akur dengan arahan tidak menceroboh Pantai Sungai Kajang di Tanjong Karang yang telah disita Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), minggu lalu.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Raiz Radzuan memaklumkan masyarakat harus mengetahui bahawa sitaan dan larangan itu dilakukan kerana pantai berkenaan adalah tanah rizab hutan selain mahu mengekalkan hutan paya bakau.

Jelas Zulkafperi, sitaan pantai itu memberi kesan terutama kepada lebih 20 peniaga kecil di kawasan berkenaan yang terjejas pendapatan.

“Pantai Sungai Kajang merupakan satu-satunya kawasan pantai terbuka kepada pengunjung untuk beriadah di Tanjong Karang. Sitaan itu menimbulkan rungutan orang ramai termasuk peniaga makanan dan minuman yang mencari rezeki sejak sekian lama,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI