KUALA LUMPUR – Selepas empat tahun ‘berehat’, Rockstage Entertainment kembali mengganas dengan merealisasikan Konsert Rockstage VI yang menggabungkan kumpulan metal otai, Silkhannaz dan FTG.
Wakil penganjur, Talib Othman berkata, buat julung kali persembahan mega membabitkan dua kumpulan gah tersebut bersama beberapa lagi band metal tempatan digabungkan di atas satu pentas besar.
Katanya, lebih unik apabila acara pembuka tirai 2023 khas untuk kaki rock dan metal berkenaan berlangsung seawal pukul 2 petang hingga ke tengah malam yang dijangka memenuhi selera khalayak.
Ujar Talib, Rockstage VI sebenarnya kesinambungan konsert Rockstage yang dimulakan pada 2017, namun terhenti sekitar 2019 berikutan serangan pandemik.
“Selepas hampir empat tahun, konsert ini kembali direalisasikan dengan nama Konsert Rockstage VI Metal Tempur yang juga gabungan antara Silkhannaz dan FTG iaitu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
“Konsert ini juga sebagai pelengkap terhadap promosi album baharu kedua-dua kumpulan yang membuktikan mereka tetap aktif beraksi di tengah kebanjiran band pelapis.
“Rockstage Entertainment juga memilih lokasi konsert santai memandangkan kita jangka ramai penonton akan datang dari seluruh tanah air, ditambah konsert juga berlangsung dari petang.
“Selepas segmen pada siang hari, persembahan dihentikan seketika untuk solat maghrib sebelum bersambung semula pada sebelah malam,” katanya kepada Kosmo! Online.
Band lain yang menjayakan Konsert Rock Stage VI Metal Tempur di Stadium Chin Woo Kuala Lumpur pada 25 Februari depan adalah Langsuir, Farasu, Massacre Conspiracy, S.O.G dan Naratu.
Menurut Talib lagi, tiket untuk menyaksikan persembahan mega tersebut sudah dibuka sejak dua minggu lalu secara online menerusi laman ubertickets atau hubungi 0147635502.
“Kami menjangkakan kehadiran 3,000 penonton dengan tawaran tiket pada harga istimewa RM95 sehingga 7 Februari ini, berbanding kadar normal RM110,” katanya.
Mengenai album baharu, Silkhannaz serta FTG masing-masing tampil dengan diskografi yang mempunyai lapan lagu setiap satu yang dihasilkan dan diterbitkan sendiri.
“Album Silkhannaz berjudul The Madnessof Fear, manakala FTG dengan Army of God. Menariknya, album ini turut dijual dalam format cekera padat (CD) untuk disimpan pengumpul edisi terhad,” katanya. – KOSMO! ONLINE