fbpx

100 pasangan diraikan dalam Majlis Walimatul Urus Perdana MAIWP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 100 pasangan pengantin diraikan dalam Majlis Walimatul Urus Perdana anjuran MAIWP, di Dataran Merdeka, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Seramai 100 pasangan diraikan dalam Majlis Walimatul Urus Perdana anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini.

Majlis gilang gemilang yang bertemakan ‘Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’ itu meraikan pasangan pengantin yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Menariknya, 100 pasangan pengantin itu juga diarak menaiki Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut sehingga ke tapak karnival di Dataran Merdeka dan mereka juga disandingkan atas pelamin yang disediakan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, anjuran itu antara lain bagi membuktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa MAIWP telah cuba melaksanakan yang terbaik dalam mengagihkan zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat.

“Jika dilihat ketika awal penubuhan MAIWP, aktiviti kutipan zakat dilaksanakan sendiri oleh Baitulmal Wilayah Persekutuan sehingga Mei 1989 sebelum pengurusannya dikorporatkan.

“Dalam aspek pengagihan zakat pula, bermula tahun 1981 MAIWP hanya menawarkan enam skim bantuan zakat yang berbentuk keperluan segera, keperluan bulanan dan perniagaan.

“Alhamdullilah, dengan peningkatan kutipan zakat setiap tahun sehingga kini, MAIWP telah menawarkan 30 skim bantuan zakat yang lengkap merangkumi kebajikan, perlindungan, pendidikan, perubatan, keusahawan dan pembangunan ummah,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Pada majlis tersebut, setiap pasangan pengantin turut menerima wang tunai RM2,000 dan sepersalinan pakaian pengantin berserta perhiasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI