fbpx

PTPTN, IIUM tingkatkan kesedaran menabung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkifli Abdul Razak (dua dari kanan), Ahmad Dasuki (dua dari kiri), Prof. Dr. Akmal Khuzairy Abdul Rahman (kanan) dan Mastura Mohd. Khalid (kiri) bergambar bersama selepas menandatangani MoU.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan International Islamic University Malaysia (IIUM) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka peluang dalam meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan menabung.

MoU itu turut mengetengahkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anak.

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, majlis menandatagani MoU tersebut telah diadakan di IIUM Kampus Gombak, Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Rektor IIUM, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak manakala PTPTN diwakili oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

“Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan hubungan dan kerjasama dalam membudayakan amalan penabungan, meningkatkan kefahaman dan kesedaran pelajar tentang bayaran balik pinjaman dan memperkasakan pembangunan penyelidikan serta pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang berkualiti.

“Sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, misi utama PTPTN ialah menggalakkan masyarakat memulakan simpanan dari seawal usía satu hari, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman,” katanya di sini hari ini.

Justeru itu katanya, kerjasama dengan IIUM sangat dialu-alukan dalam meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan perancangan kewangan yang baik sekali gus dapat mengelak keberhutangan melampau di usia muda serta membantu dalam pembentukan sahsiah dan akhlak yang baik pada masa depan.

PTPTN dan IIUM bersetuju untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop antaranya membudayakan penabungan Simpan SSPN bagi seluruh warga IIUM serta membangunkan penyelidikan dan pembangunan agar idea-idea baharu dapat ditingkatkan berkaitan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan.

Selain itu, meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan yang berkualiti agar berupaya memenuhi keperluan industri, menjalinkan jaringan kerjasama di dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui tanggungjawab sosial korporat antara PTPTN dan IIUM, penyampaian informasi atau promosi PTPTN menerusi billboard di premis IIUM dan jaringan program kerjasama dengan alumni IIUM.

“Dalam aspek bayaran balik pinjaman, PTPTN sentiasa komited untuk memastikan para peminjam PTPTN dapat melaksanakan tanggungjawab bayaran balik dengan konsisten.

“PTPTN optimis dengan bantuan galakan dari pihak universiti, PTPTN dapat mendekati para peminjam dan melaksanakan pelbagai program secara bersama untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2022, PTPTN telah membantu seramai 57,954 pelajar yang mengikuti pengajian di IIUM dalam pelbagai bidang melalui pemberian pinjaman pendidikan sekali gus memberi peluang kejayaan kepada mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI