fbpx

Litar mahal, penunggang superbike pilih Karak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, AZMI NORDIN

KEGHAIRAHAN segelintir ‘geng tayar besar’ atau penunggang motosikal kuasa tinggi mendominasi lebuh raya seakan litar lumba sering menimbulkan ke­gusaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

Melihat mereka menyelit di celah-celah kenderaan, memotong sesuka hati dengan kelajuan tinggi adalah membimbangkan.

Keadaan sama turut berlaku di laluan yang berbukit menghala ke tanah tinggi yang menjadi tarikan kumpulan tersebut.

Seorang pemilik superbike yang dikenali sebagai Zharif berkata, keadaan jalan yang lurus, sunyi dan luas adalah faktor penarik penunggang motosikal berkuasa tinggi menguji kekuatan jentera mereka.

Dia yang kerap menggunakan laluan itu berkata, penunggang akan berasa puas menunggang di selekoh pada kelajuan tinggi ketika kurang kenderaan.

“Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak antara lokasi wajib bagi pemilik superbike beraksi bermula dari Bentong hingga Plaza Tol Gombak.

“Selekoh yang besar dan luas membolehkan kami menunggang laju dan ia merupakan satu ke­puasan, tetapi aksi tersebut ha­nya dilakukan apabila kenderaan kurang,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ditanya mengapa tidak menggunakan litar yang sepatutnya, lelaki itu memberikan alasan jarak dan kos yang dianggap tidak berbaloi.

“Sebagai pengguna superbike di Kuala Lumpur, untuk pergi ke Litar Sepang bagi menguji kelajuan jentera agak tidak berbaloi.

“Litar juga tidak dibuka setiap masa untuk orang awam. Bayaran yang dikenakan mahal iaitu RM400 untuk satu sesi.

“Disebabkan itu, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands menjadi pilihan,” katanya yang memiliki Yamaha ZF-R1.

Sebelum ini, Kosmo! me­laporkan lima sekawan cedera terbabas selepas superbike ditunggang gagal elak kereta yang mengubah laluan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada Di­sember lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed dilaporkan berkata, tindakan itu menyebabkan motosikal terbabit terbabas ke lorong kanan. Empat lagi motosikal turut terbabas ketika mengelak mangsa yang terjatuh atas jalan.

Kes tersebut disiasat mengikut Sek­syen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.

Namun begitu, terdapat sebuah rakaman kamera papan pemuka yang tular mengenai cara tunggangan kumpulan motosikal itu sebelum kemalangan berlaku yang dilihat berisiko tinggi.

Menerusi rakaman itu, rata-rata penonton merasakan cara penungang motosikal menyelit dalam keadaan laju adalah berbahaya dan be­risiko tinggi untuk berlakunya kemalangan.

Jadi, penulis berpandangan baik pengguna motosikal mahupun kereta, kenderaan tersebut perlulah ditunggang secara berhemah kerana kenderaan itu bergerak mengikut cara pemanduan penggunanya.

Jika ingin menguji kelajuan jentera, gunakan platform yang disediakan seperti litar lumba kerana kelengkapan yang disediakan adalah lengkap sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Menguji kelajuan motosikal tidak salah, tetapi perlu mengikut saluran yang betul dengan memegang slogan ‘hobi kami mahal’, sudah pastinya tidak salah berbelanja lebih untuk menjaga keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI