fbpx

Kemboja serik, enggan lagi layan NGO Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Jalil (dua kiri) dan Mohd. Aini (kiri) bersama lima warga Malaysia yang diselamatkan di Kemboja dan ditahan di Depoh Imigresen Phnom Penh selepas terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di KLIA, Sepang hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Kerajaan Kemboja tidak lagi akan melayan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia jika ada laporan mengenai kes mangsa penipuan tawaran pekerjaan.

Sebaliknya, pihak berkuasa negara tersebut hanya akan menerima maklumat rasmi yang disalurkan oleh kedutaan Malaysia di Phnom Penh dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Langkah tegas itu, menurut Ketua Protokol dan Konsular, Kementerian Luar, Mohd. Aini Atan, kerana pihak Kemboja ‘serik’ dengan laporan sensasi disebarkan NGO berkenaan.

“Justeru Wisma Putra memohon agar ibu bapa atau waris mangsa buat laporan kepada kita atau PDRM dan bukan lagi organisasi tertentu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi lima mangsa diselamatkan kerajaan Kemboja yang berusia dari 16 tahun hingga 42 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut serta ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan yang bersama-sama pulang dari Kemboja untuk bertemu pihak negara tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Aini berkata, tindakan segelintir NGO di Malaysia yang melaporkan fakta salah mengenai isu jenayah itu boleh menjejaskan hubungan baik dengan Kemboja.

Bahkan negara itu dalam nada diplomatik, menyifatkan laporan ditularkan pihak terbabit selama ini telah mengguris perasaan mereka sedangkan situasi sebenar adalah berbeza.

Justeru, beliau menasihatkan NGO tempatan lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan sensitif kerana semua laporan media negara ini turut dipantau oleh pihak kedutaannya.

Mujur tambahnya, hubungan diplomatik erat dengan Kemboja membolehkan negara itu ‘berlembut’ meringankan tempoh tahanan di depoh imigresen yang sepatutnya lebih lama.

Malahan kata Mohd. Aini, meskipun ada didapati menipu konon menjadi mangsa, mereka tidak dihantar ke penjara, tetapi hanya ditempatkan di depoh atas isu kesalahan imigresen.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada NGO yang baik selain banyak membantu kerajaan dengan memberikan maklumat terus kepada pihak Wisma Putra dan PDRM.

Kementerian Luar ujarnya, turut memahami kebimbangan ibu bapa mangsa akibat laporan sensasi pihak tertentu bahkan mereka pun tidak ‘tidur’ bagi memantau kes berkenaan.

“Kerajaan namun memberi jaminan akan tetap melayan semua aduan keluarga mangsa kerana isu keselamatan rakyat Malaysia di luar negara memang jadi keutamaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI