fbpx

Kadar fi rekalibrasi kekal RM1,500 – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2023 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya di sini, hari ini. - FOTO/ FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berhasrat untuk menyemak semula kadar fi bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang mula dibuka untuk permohonan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, kadar bayaran fi rekalibrasi yang ditetapkan adalah kekal malah tidak akan akan mempertimbangkan sebarang perubahan pada fi berkenaan.

“Setakat dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), program itu berjalan dengan lancar seperti yang dihasratkan.

“Buat masa ini, kita tidak melihat sebarang lonjakan masalah yang besar berhubung pelaksanaan program itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 KDN, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya dimaklumkan, program sama yang dilancarkan tahun lalu menyumbang RM700 juta kepada pendapatan kerajaan selain majikan juga boleh menjimatkan kos dari segi latihan pekerja kerana sumber pekerja asing itu sudah ada dalam negara.

Sebelum ini, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan supaya menyemak kembali fi rekalibrasi sebanyak RM1,500 yang ditetapkan bagi setiap pekerja yang menyertai program itu.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 telah dibuka untuk permohonan bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

Sektor pekerjaan yang terlibat bagi program itu termasuk perkilangan, pembinaan, perlombongan dan kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan serta pembantu rumah asing (PRA).

Sebagai contoh, majikan yang memohon untuk mendapatkan PRA dikehendaki membayar sejumlah RM2,095 iaitu jauh lebih murah berbanding mendapatkannya sendiri dari negara sumber.

Bayaran itu termasuk RM1,500 bagi fi rekalibrasi, levi (RM410), Pas Lawatan Kerja Sementara (RM50) dan caj pemprosesan (RM125). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI