– Gambar hiasan

Hukum bunuh diri kerana tekanan psikologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya faham bunuh diri adalah haram dan berdosa besar. Pertanyaan saya, bagaimanakah jika dia membunuh diri sebab kemurungan/depresi atau masalah psikologi (khususnya skizofrenia)? Apakah hukum dalam situasi itu?

Jawapan:
Tindakan bunuh diri dengan sengaja sudah sedia maklum bahawa hukumnya adalah haram dan berdosa besar berdasarkan firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

“Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).” (Surah al-Nisa’, 29-30)

Dan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang sengaja terjun daripada bukit dan membunuh dirinya, akan jatuh di neraka ke dalam api dan kekal dalam keadaan tersebut; sesiapa yang meminum racun dan membunuh dirinya, dia akan membawa racun tersebut dengan tangannya dan meminumnya di neraka selama-lamanya; dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan senjata besi, akan membawa senjata itu dan menusuk-nusuk perutnya di neraka selama-lamanya.”

Secara dasarnya, hukum bunuh diri adalah haram secara sepakat dan terdapat beberapa pandangan berbeza terhadap hukum mendirikan solat jenazah pembunuh diri.

Ada juga pendapat yang terpencil bahawa taubat dosa membunuh diri ini tidak diterima.

Daripada Jundub RA, Nabi SAW bersabda: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya.

“Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.”

Sebahagian ulama berpendapat zahir hadis ini menunjukkan bahawa orang yang membunuh diri dengan sengaja adalah jatuh kafir kerana kekal di dalam neraka adalah hukuman ke atas orang kafir sahaja.

Adapun bagi seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan tanpa sengaja dalam keadaannya hilang akal sehingga dia terbunuh, maka perbuatannya itu tidak dipertanggungjawab ke atasnya.
Hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Telah diangkat pena daripada tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sedar.”

Sebagai manusia kita tidak boleh menghakimi iman seseorang secara pasti. Jika ada yang menghakimi si pelaku tersebut sebagai kafir atau selainnya, maka ia tidak harus diterima secara bulat-bulat terutama jika tiada pengakuan daripada si pelaku sebelum terbunuh.

Lebih utama kita menganggap mereka masih Islam dan jika benar sekalipun mereka membunuh diri dengan sengaja maka semestinya tindakan mereka itu adalah dosa besar.

Kesimpulannya, tiada sebarang dalil daripada syarak yang membenarkan bunuh diri dengan apa sebab sekalipun.

Jika seseorang itu masih waras dan membunuh diri kerana kemurungan, depresi, maka itu sudah terbukti pelaku itu berdosa besar.

Jika pelaku tersebut disabitkan bahawa dia hilang akal mahupun gila, maka tindakan si pelaku yang membunuh diri itu tidak dikira sebagai dosa besar.

Penyakit skizofrenia atau yang lain, jika disabitkan bahawa ia menyebabkan hilang akal maka pesakit yang menghidap penyakit tersebut telah terkeluar dari taklif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN