fbpx

Guru, pesara guru didakwa bertumbuk kerana parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuad (kanan) dan Rosli (kiri) ketika diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majisret, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Gara-gara berebut ruang parkir di taman perumahan, seorang guru didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul jirannya, yang juga guru sehingga cedera pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Fuad Jahaya, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada, Aziah Omar, 54, dengan cara memukul di bahagian kepala dan lengan mangsa menggunakan tangan.

Dalam prosiding sama, tertuduh dan suami mangsa, Rosli Baba, 60, yang merupakan pesara guru turut didakwa atas pertuduhan secara bersama-sama melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari di Jalan Bertam Setia 12, Taman Bertam Setia, dalam daerah Melaka Tengah pada 19 Disember 2022.

Difahamkan, pergaduhan itu berpunca daripada perebutan ruang parkir dan pertengkaran antara Fuad dan Rosli dikatakan berlaku ketika pesara guru itu ingin keluar menunaikan solat Jumaat di masjid.

Aziah yang cuba meleraikan pergaduhan bagaimanapun telah terkena pukulan Fuad sehingga menyebabkannya cedera dan berlaku pergelutan kedua antara tertuduh.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd. Jalil mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap Fuad bagi kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan RM5,000 setiap seorang bagi kesalahan gaduh gempar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan tersebut dikurangkan dengan masing-masing memberikan alasan perlu menanggung keluarga, selain Rosli memberitahu dia kini merupakan pesara guru.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Mazana kemudian membenarkan Fuad diikat jamin sebanyak RM1,000, manakala Rosli RM500 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh 13 Mac ini sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI