fbpx

Bayi 3 bulan maut di tempat asuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BANGI – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan disahkan meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri di tempat asuhan di Bandar Baru Bangi, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jururawat sebuah hospital swasta di Bandar Baru Bangi menyatakan telah menerima bayi tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Bayi berkenaan disahkan meninggal apabila tiada sebarang tindak balas terhadap rawatan kecemasan diberikan kepada mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dihantar oleh ibunya dalam keadaan sihat ke pusat asuhan terbabit sekitar pukul 7.15 pagi,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zaid, mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh pihak pengasuh pada pukul 10.30 pagi.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, tiada sebarang kecederaan ditemukan pada tubuh mangsa.

“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” ujarnya.

Jelasnya, pusat asuhan terbabit telah beroperasi sejak tahun 2014 dan mempunyai lesen yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur kekerasan yang berlaku, tetapi disyaki terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian pada bayi tersebut yang mana siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sehubungan itu, polis menyeru individu yang mempunyai maklumat kejadian ini untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Noor Hairul Anuar Shuhaimi di talian 012-3043034. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI