fbpx

Anak beranak bersekongkol edar ganja, heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nor (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas hasil dua serbuan di Bukit Mertajam, Selasa lalu.

SEBERANG PERAI – Tiga beranak diberkas polis dalam dua serbuan berasingan selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan heroin di daerah Seberang Perai Tengah, di sini Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd. Nor Daud berkata, serbuan pertama menahan seorang lelaki berusia 49 tahun di kawasan taman permainan di Bukit Minyak, kira-kira pukul 9 pagi.

Menurutnya, penahanan lelaki tersebut yang dipercayai mendalangi sindiket itu kemudian membawa kepada penemuan satu ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 7.20 gram dengan nilai RM550.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada suspek, polis seterusnya bertindak menyerbu sebuah lagi rumah tidak jauh dari situ dan menangkap isteri serta anak lelaki suspek yang masing-masing berusia 53 dan 23 tahun.

“Siasatan lanjut kemudiannya menjumpai empat ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 1,363 gram yang bernilai RM20,650 selain 18 peket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 2,209 gram bernilai RM32,065,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, hari ini.

Beliau memberitahu, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM53,265 dan hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati ketiga-tiga mereka negatif sebarang pengambilan dadah selain mempunyai rekod berkaitan dadah.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sindiket lain yang terlibat termasuk sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek.

Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari iaitu sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI