BERBUDI kepada tanah, lambat-laun mendapat hasilnya.
Itulah antara peribahasa yang sesuai menggambarkan usaha Norzam Mustari.
Hasil berbudi kepada tanah dengan mengusahakan tanaman pandan membolehkan lelaki berusia 55 tahun itu tersenyum gembira kerana berjaya menjana pendapatan lumayan.
“Buat masa sekarang permintaan terhadap pandan amat memberangsangkan dan sambutannya begitu baik.
“Ada ketikanya, tidak sempat pandan membesar, pembelinya sudah ada,” katanya kepada K2 ketika ditemui di ladangnya di Kampung Sungai Burung, Tanjong Karang, Selangor baru-baru ini.
Berbicara tentang penglibatannya dalam penanaman pandan, Norzam berkata, dia telah mengusahakan tanaman itu sejak 2008.
Pada mulanya, dia hanya mencuba menanam pandan secara kecil-kecilan.
Selepas menerima sambutan yang amat baik, dia memilih untuk mengusahakannya secara komersial di ladang seluas 1.2 hektar.
Dalam pada itu, Norzam berkata, biarpun pandan mudah ditanam, tetapi ia perlu dijaga dengan penuh disiplin bagi mendapat hasil yang baik dan berkualiti.

Ujarnya, pandan hanya dapat dituai setahun sekali.
“Bagi tanaman pandan, penyelenggaraan amat penting. Ia perlu dijaga seperti bayi yang baru lahir.
“Sejak awal, kita perlu memberikan baja dan racun yang sesuai untuk mendapatkan hasil terbaik,” jelasnya.
Tambahnya, jika faktor-faktor itu diabaikan, kualiti pandan yang terhasil kurang baik dan tidak mengeluarkan bau harum.
Sementara itu, Norzam berkata, pandan ditanamnya itu mendapat permintaan daripada peniaga di pasar tani, syarikat menghasilkan cendol serta kilang membuat kuih dan roti.
Malah, pandan yang ditanam Norzam turut dibekalkan kepada syarikat pembuat roti terkemuka iaitu Gardenia.
“Harga satu kilogram (kg) pandan boleh mencecah sehingga RM2.50.
“Biasanya, satu pohon pandan boleh mencapai berat sehingga 3kg dan mempunyai antara 50 hingga 60 helai daun,” terangnya.
Sementara itu, mengulas tentang penanaman pandan di ladangnya, Norzam berkata, dia membahagikannya kepada dua plot tanaman.

Jelasnya, setiap plot tanaman pandan seluas 0.6 hektar ditanam secara berasingan.
“Saya tidak menanamnya secara serentak. Ini bagi membolehkan saya menguruskannya secara serentak.
“Contohnya, apabila ditanam secara berasingan saya tidak perlu melakukan kerja yang banyak pada satu-satu masa.
“Misalnya, membaja, meracun dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, pada masa sama, kaedah itu membolehkannya menjaga kualiti tanaman kerana pihak kilang sentiasa mahukan daun pandan yang baik.
“Bagi pengusaha kuih tepung pelita pula, mereka mahukan daun pandan yang panjang dan lebar.
“Ini kerana, mereka mahu menggunakan daun pandan untuk dibuat acuan kuih itu. Situasi ini membuatkan saya perlu menjaga kualiti pandan yang ditanam,“ katanya.
Mengulas tentang hasil tanaman pandannya, Norzam menjelaskan, ia tidak menentu dan bergantung kepada keadaan semasa.
Menurutnya lagi, dia juga berdepan cabaran untuk mengusahakan tanaman tersebut terutamanya ancaman serangga perosak dan tikus.
“Ancaman ‘musuh’ memang sesuatu yang kita tidak boleh elak seperti serangan belalang dan kupu-kupu. Namun, ia masih boleh diselesaikan.
“Bagaimanapun, serangan daripada tikus masih belum dapat diselesaikan.
“Biasanya, haiwan ini akan makan bahagian umbut sehingga menyebabkan pucuk pandan layu dan mati,” terangnya lagi.
Meskipun begitu, Norzam berkata, secara purata pandan yang dapat dihasilkan di ladangnya adalah sekitar 90 tan bagi setiap 0.6 hektar
Sementara itu, dia menjelaskan, kesabaran amat penting dalam mengusahakan tanaman tersebut kerana ia mengambil masa lama sebelum boleh dituai hasilnya.
Terangnya, tempoh tumbesaran pandan memerlukan masa lama, sekali gus menjadi punca para petani enggan mengusahakan tanaman tersebut secara komersial.
“Paling cepat, kami boleh menuai hasil tanaman ini adalah selama 10 bulan.
“Itupun setelah kita memberi baja yang mencukupi bagi membolehkan tanaman ini mencapai kualiti yang dikehendaki.
“Biasanya, kami meraih hasil apabila tanaman ini mencapai tempoh matang iaitu sekurang-kurang selama setahun,” katanya.
Tambahnya, pandan juga boleh dituai pada usia lima hingga enam bulan, namun ia tidak akan mencapai kualiti yang dimahukan oleh pihak kilang.
Kongsi Norzam, sebelum ladang pandan diusahakan, tanah perlu diratakan oleh mesin terlebih dahulu, sebelum dibina batas-batas.
Jelasnya, setiap batas perlu diletakkan hamparan plastik bagi mengelakkan rumput tumbuh.
“Langkah ini dapat menjimatkan kos pengurusan ladang dan tenaga kerja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norzam menerangkan, tempoh tanaman pandan boleh mencapai sehingga 27 tahun untuk penanaman kali pertama.
Ujarnya, setelah pandan dipotong, ia akan meninggalkan tunggul.
Dia menambah, selepas itu, tunas-tunas baharu akan mula tumbuh dan proses tersebut akan berterusan selama 27 tahun.
“Arwah bapa saudara saya pernah buktikan perkara ini. Tanaman pandannya boleh bertahan sehingga tempoh tersebut.
“Berbeza dengan saya, setelah dituai hasilnya, saya akan mengitar semula tanah untuk memulakan tanaman pandan yang baharu.
“Ini kerana, saya lebih suka melihat tanaman berada dalam kedudukan yang teratur,” terangnya.














