fbpx

Tinggal tunang tepi jalan elak dicekup JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasa JPJ Pulau Pinang menyita motosikal pada Ops Khas sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, di sini malam tadi. - Foto oleh IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Gara-gara terkejut melihat satu sekatan jalan raya, seorang lelaki tergamak meninggalkan tunangnya selepas motosikal yang dinaiki terbabas berhampiran laluan motosikal menuju ke Jambatan Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, lelaki itu bertindak memecut laju tanpa menghiraukan keadaan tunangnya yang dipercayai cedera pada tangan dan kaki selepas terjatuh daripada motosikal tersebut.

Menurutnya, tidak lama kemudian, wanita itu turut menghilangkan diri selepas dipercayai berjaya menghubungi seorang kenalan untuk mengambilnya di situ.

“Terdapat seorang lagi penunggang wanita yang menangis teresak-esak kerana motosikal baharunya yang dibeli secara ansuran sebanyak RM480 sebulan disita kerana dia menunggang tanpa lesen.

“Kita ingin memberi peringatan kepada semua penunggang motosikal bahawa tahun ini adalah tahun penguatkuasaan. JPJ akan mengambil tindakan tegas kepada penunggang yang tidak memiliki lesen (memandu), LKM (lesen kenderaan motor) telah tamat juga kita akan sita,” katanya pada Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina, malam tadi.

Selain Jambatan Pulau Pinang, operasi yang berlangsung selama empat hari bermula Sabtu lalu dan berakhir malam tadi turut dijalankan di dua lagi lokasi iaitu berhampiran plaza tol Juru arah utara dan plaza tol Sungai Dua arah selatan iaitu di lorong motosikal.

Turut serta dalam operasi tersebut adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Imigresen dan kakitangan Projek Lebuh Raya Utara Selatan dengan 74 keanggotaan secara keseluruhannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan memberitahu, sebanyak 2043 motosikal telah diperiksa sepanjang operasi tersebut dengan 301 daripadanya telah diambil tindakan.

Katanya, sebanyak 473 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu dan tidak mempamerkan pelekat P manakala lain-lain merekodkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 176 notis.

Ini termasuklah kesalahan teknikal iaitu 151 notis pengubahsuaian kenderaan, 95 notis berkaitan pelesenan kenderaan seperti LKM tamat tempoh serta tidak dilindungi insurans. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI