fbpx

Staf MPJ berdepan penjara 10 tahun, didakwa beri keterangan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi keterangan palsu membabitkan kes rasuah seorang anggota polis, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd. Hadaffy Mokhtar Ruzaini, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) itu telah memberi keterangan yang tidak selaras di mahkamah berbanding kenyataan yang diberikan kepada Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat SPRM Melaka pada 18 Februari 2020.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.40 petang hingga 3.30 petang di Mahkamah Seksyen 1 Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 18 Januari 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-keduanya sekali mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan antara RM3,000 hingga RM5,000 beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu agar jaminan tersebut dikurangkan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 10 Februari ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI