fbpx

‘Mummy juri yang bagus jujur, terus terang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UJAR Baby Shima yang pernah dimarahi Mas Idayu dalam sebuah program realiti, penyanyi dangdut itu melakukan amanah sebagai juri dengan baik kerana berlaku jujur.

PETALING JAYA – Kontroversi teguran Mas Idayu terhadap persembahan Sissy Imann dan Naim Daniel dalam Famili Duo menarik perhatian penyanyi Baby Shima yang pernah dimarahi juri sama ketika pertandingan D’Academy Asia di Indonesia, enam tahun lalu.

Shima yang duduk di kerusi peserta rancangan realiti popular tersebut pada waktu itu menganggap penyanyi senior berkenaan melaksanakan amanah sebagai juri dengan baik apabila jujur memberikan ulasan.

Malah katanya, setiap komen mahupun kritikan dijadikan rujukan bagi menampilkan persembahan lebih baik untuk penampilan pada minggu berikutnya.

“Bagi saya komen yang dilontarkan mummy (Mas Idayu) adalah teguran yang biasa dibuat seperti dalam beberapa program pertandingan sebelum ini.

“Apabila beliau memberikan teguran kepada saya ketika bersaing dalam D’Academy Asia 2017, saya diam dan hadam, namun pada masa sama bersemangat memperbaiki kelemahan.

“Sebab saya tahu apa yang disebutkan adalah untuk membolehkan saya ‘scan’ kekurangan, seterusnya buat yang terbaik pada kemudian hari.

“Lagipun setiap juri ada cara tersendiri. Tak bermakna teguran pedas itu mahu bunuh semangat peserta, sebaliknya menunjukkan ketulusan juri,” katanya kepada Kosmo! Online.

MEREKA yang mengecam Mas Idayu dilabel sebagai individu buruk tingkah laku oleh Baby Shima.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli, 30, itu menyifatkan sebahagian netizen yang melemparkan kecaman terhadap Mas Idayu sebagai individu buruk tingkah laku.

Katanya, jika mereka tidak bersetuju dengan cara juri melontarkan ulasan sepatutnya boleh saja memberikan cadangan secara berhemah.

“Pihak yang menghentam ini lagi teruk sebab guna bahasa kasar. Kalau mereka sendiri berperangai teruk, macam mana mahu kononnya mendidik orang lain.

“Biarkan juri buat kerja mereka. Perkara baik kita jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Sama-sama kita ambil iktibar,” katanya lagi.

Insiden Baby Shima dimarahi Mas Idayu berlaku selepas penyanyi itu mendendangkan lagu Wulan Perindu pada konsert minggu ketiga pertandingan yang membariskan peserta dari Asia.

Terdahulu, sejak Ahad lalu nama Sissy menjadi bualan ramai selepas dia dilihat menitiskan air mata disebabkan kritikan pedas daripada Mas Idayu.

Juri itu berpendapat persembahan Sissy dan sepupunya, Naim Daniel ketika menyanyikan lagu Jampi milik Hael Husaini dalam versi keroncong tidak mencapai piawaian.

Perkara tersebut nyata menggores hati Sissy yang berpendapat dia tidak lagi disayangi muzik sehingga nekad membatalkan pelancaran album terbaharunya yang dirakam di London, United Kingdom tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI