fbpx

Kutipan zakat Wilayah Persekutuan 2022 meningkat 13 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im (empat kiri) memegang replika cek kutipan zakat dan agihan zakat 2022 selepas sidang akhbar mengenai Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Tahun 2022 di Wilayah Persekutuan di Hotel Everly, Putrajaya di sini, hari ini.-Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Jumlah keseluruhan kutipan zakat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lepas telah berjaya mencecah hampir RM1 bilion berbanding 2021 lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata kutipan keseluruhan pada 2022 lalu telah merekodkan sebanyak RM937,036,444.09.

“Ia naik 13 peratus daripada RM828,670,791.16 pada tahun sebelum itu,” kata beliau pada sidang akhbar mengenai Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, daripada jumlah berkenaan, kutipan zakat harta ialah sebanyak RM923,284,151.65 manakala zakat fitrah pula ialah RM13,752,292.44.

Bilangan keseluruhan pembayar zakat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan itu ujar beliau, turut mencatatkan pertambahan 17 peratus sepanjang tahun lalu iaitu 1,832,764 orang.

Daripada jumlah tersebut kata beliau, pembayar zakat harta ialah seramai 240,630 orang manakala zakat fitrah pula pada ketika bulan Ramadan tahun lepas ialah 1,592,134 orang.

“Peningkatan kutipan dan pembayar zakat ini adalah atas beberapa faktor seperti kepelbagaian saluran bayaran, aktiviti promosi berterusan dan luas melalui banyak platform,” jelasnya.

Ia malah turut disumbangkan hasil pelaksanaan Skim Wakalah atau Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat oleh MAIWP serta Skim Kafalah Muzakki atau khairat kematian.

Kedua-dua skim berkenaan ujar beliau, yang ditawarkan berjaya menarik minat ramai pembayar baharu dan mengekalkan pembayar sedia ada serta menambah kutipan zakat.

Selain itu, tahap kepercayaan masyarakat Islam terhadap agihan zakat yang dilaksanakan MAIWP juga antara faktor yang menyumbang kepada pertambahan kutipan pada 2022.

Setakat akhir tahun lepas, agensi berkenaan telah mengagihkan sejumlah RM855,519,208.03 dana zakat menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilakukan terus kepada semua asnaf.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI