fbpx

Dua ahli perniagaan didakwa buat tuntutan palsu Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEDUA-DUA tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 berjumlah RM43,600.

KUANTAN – Dua ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 berjumlah RM43,600 tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Arabath Ali Arul Alavudeen, 36, dan Mohmmed Ismail R. P. Mohd Ibrahim,62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Menurut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membuat dua tuntutan secara dalam talian bagi mendapatkan insentif pengambilan pekerja melalui Program Penjana Kerjaya 1.0 yang dilaksanakan kerajaan melalui Perkeso.

Tertuduh didakwa mengemukakan permohonan dengan butiran palsu yang mengandungi 17 senarai nama pekerja syarikat Is Catering Sdn Bhd bagi mendapatkan insentif berjumlah RM27,200 sedangkan senarai nama terbabit tidak pernah memohon kerja di syarikat berkenaan.

Kedua-dua tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama apabila sekali lagi mengemukakan dokumen dengan 10 senarai nama dengan niat mendapatkan insentif berjumlah RM16,400.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 24(2) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif.

Arabath Ali yang diwakili peguam Venugopal Narasiman, dalam rayuannya meminta mahkamah menetapkan ikat jamin paling rendah berikutan anak guamnya mempunyai tanggungan empat orang anak.

Manakala Mohmmed Ismail, yang diwakili peguam, R. Maran, pula merayu jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya mempunyai lima tanggungan termasuk ibunya yang uzur dengan pendapatan hanya RM3,000 sebulan.

Hakim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI