fbpx

Bilik sauna jadi stor sorok minyak masak bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEGAN (dua dari kanan) memeriksa minyak peket yang dirampas di stor sebuah apartment di Bukit Gambir, George Town, di sini hari ini.- Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki dipercayai penganggur ditahan bersama 2,980 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dalam serbuan di stor sebuah apartmen di Jalan Bukit Gambir, George Town dekat sini semalam.

Serbuan tersebut dijalankan sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang kira-kira pukul 10 pagi.

Difahamkan, stor tersebut pada asalnya merupakan sebuah bilik sauna terbiar yang kemudiannya digunakan sebagai ruang untuk menyimpan minyak masak berkenaan.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan terhadap premis itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu susulan aduan yang diterima daripada orang ramai termasuk jiran kepada lelaki berusia 40-an terbabit.

“Siasatan awal mendapati, minyak masak paket seberat 1kg setiap satu itu diperoleh tanpa lesen CSA (barang kawalan berjadual) borong atau runcit.

“Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan pula adalah sebanyak RM6,407. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum RM5 juta boleh dikenakan.

“Setakat ini, siasatan mendapati lelaki yang ditahan itu merupakan anak kepada pemilik premis tersebut yang tidak berada di lokasi ketika serbuan dilakukan.

“KPDN masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti modus operandi yang digunakan dalam kegiatan itu termasuk tempoh beroperasi dan dari mana bekalan itu diperoleh serta kepada siapa bekalan diedarkan,” jelasnya.

Justeru, Jegan mengingatkan kepada mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi seperti minyak masak ini supaya tidak berbuat demikian jika enggan dikenakan tindakan tegas.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang ramai berhubung aktiviti penyelewengan barang berkenaan melalui beberapa saluran yang telah diuar-uarkan sebelum ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI