fbpx

Banjir air pasang landa rumah penduduk Pantai Sabak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maimunah sedang membersih halaman rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir dekat Pantai Sabak, Kota Bharu selepas dilanda banjir air pasang besar malam tadi. -Foto ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Penduduk di sekitar Kampung Pulau Gajah Hilir dekat Pantai Sabak di sini tidak lena tidur berikutan fenomena air pasang besar yang melanda kawasan tersebut malam tadi.

Kejadian itu menyebabkan beberapa rumah penduduk terjejas ekoran air pasang apabila limpahan air laut yang menghempas kawasan pesisir pantai yang telah ditambak masuk ke dalam rumah mereka.

Seorang penduduk, Maimunah Ahmad, 74, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam apabila dia bersama keluarga menyedari air laut setinggi 0.3 meter sudah masuk ke dalam rumah dan bilik.

Menurutnya, menyedari keadaan itu, dia terus meminta bantuan jiran-jiran untuk membantu mengangkat mesin basuh dan peralatan rumah yang lain ke tempat yang lebih tinggi.

“Saya tidak dapat tidur sehingga pagi tadi apabila masih terdengar bunyi ombak kuat sehingga ada beberapa kali air masuk ke kawasan rumah.

“Meskipun kejadian air pasang besar berlaku di kawasan ini setiap tahun, penduduk di sini tetap berjaga-jaga. Apabila berlaku air pasang besar, pastinya air akan masuk ke dalam rumah dan penduduk akan mengalami kerugian apabila banyak barangan rosak,” katanya ketiia ditemui Kosmo! hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Affandi Shukri, 33, berkata, kejadian ombak besar berlaku kira-kira pukul 7 malam semalam dan ia berlarutan sehingga awal pagi tadi.

Katanya, ombak setinggi 1.5 meter yang menghempas kawasan yang ditambak di pesisir Pantai Sabak turut menjejaskan rumah penduduk berhampiran.

“Ombak besar menyebabkan limpahan air laut masuk ke dalam rumah. Selain itu, hampir 10 buah kereta milik penduduk tidak dapat keluar dari kawasan kampung apabila jalan dipenuhi pasir dan air.

“Penduduk kampung terpaksa menutup laluan ke Kampung Padang Jepun, Sabak bagi mengelak kenderaan tersangkut di dalam timbunan pasir yang dihanyutkan ombak,” katanya.

Tambah Mohd. Affandi, penduduk kampung tidak menolak kemungkinan kejadian ombak besar akan berlaku lagi pada malam ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI