fbpx

14 suspek kes samun dicekup dalam operasi khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian barang kemas dan senjata yang dirampas daripada suspek kes samun di Kedah, baru-baru ini.

ALOR SETAR – Polis Kedah berjaya menyelesaikan lebih 21 kes samun termasuk dengan senjata selepas menahan 14 individu dalam serbuan berasingan di sekitar negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, semua suspek terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita tempatan ditahan dalam operasi khas kira-kira pukul 6 petang, 13 Januari lalu.

“Operasi ini dilakukan sejak tiga bulan lalu bagi mengesan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kes samun dan kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, penahanan semua suspek itu berjaya menyelesaikan 21 kes samun di negeri ini dan negeri bersempadan dengan jumlah kerugian RM700,000.

“Kita juga berjaya merampas kembali barangan milik mangsa terdiri daripada pelbagai jenis telefon bimbit, barang kemas, wang tunai dan barang berjenama.

“Turut dirampas ialah pelbagai jenis senjata tajam dan tujuh kenderaan yang digunakan kumpulan ini untuk kegiatan samun. Semua barang yang dirampas bernilai RM200,000,” ujarnya.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati terdapat dalam kalangan suspek yang merupakan individu dikehendaki dalam kes samun dan juga dadah.

“Modus operasi mereka ialah menyasarkan rumah-rumah yang terasing jauh, bergerak menaiki kenderaan dan melakukan samun di awal pagi secara berkumpulan.

“Suspek juga menggunakan senjata parang serta mengugut dan mengambil barangan berharga milik mangsa,” jelasnya.

Katanya, polis turut menyerbu premis pajak gadai dan merampas kembali barang kemas milik mangsa.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang mengaut keuntungan dan membantu pihak yang dalam pengetahuannya adalah hasil kegiatan jenayah,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI