fbpx

Search tidak lagi diuruskan HOC, Rock Station bukan penjual barangan rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN SEARCH

PETALING JAYA – Search menerusi dua anggotanya, Kid dan Din mengumumkan kumpulan rock itu kini tidak lagi berada di bawah pengurusan Home of Champions (HOC).

Dalam kenyataan menerusi Facebook Search Band, mereka berkata, sebarang urusan membabitkan Search termasuk jualan barangan premium bukan kelolaan Rock Station yang juga sebahagian daripada HOC.

“Segala urusan berkaitan konsert, barangan promosi dan aktiviti publisiti Search pada masa akan datang tidak lagi di bawah pengurusan Rock Station.

“Kedai Rock Station di Kompleks Campbell Kuala Lumpur juga bukan lagi penjual rasmi bagi barangan premium kumpulan Search.

“Begitu juga dengan jualan ‘merchandise’ atas talian yang sebelum ini turut diuruskan HOC Apparel,” kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca kolaborasi tersebut ditamatkan selepas kedua-dua pihak memaklumkan mengenai kerjasama yang dimeterai sejak 2020 itu ketika pelancaran premis kedai.

Menerusi kenyataan sama, Search meminta peminat yang sudah membuat pembelian kasut edisi terhad Aliph X Search menghubungi pihak berkaitan untuk proses pemulangan semula wang.

“Bagi proses pemulangan wang, Rock Station telah membuat pengumuman mengenai perkara berkenaan dua minggu lalu.

“Sekiranya tidak seperti yang dijanjikan, peminat boleh terus ke kedai mereka di Kompleks Compbell, Jalan Dang Wangi.

“Pihak tersebut juga diminta meneruskan cabutan bertuah kepada dua pembeli sekiranya telah mencapai jualan mencecah 500 unit bagi Rockobox. Sila tunaikan cabutan bertuah kepada peminat seperti yang telah dijanjikan,” tulis kenyataan itu lagi.

KID (kiri) dan Din.

Sementara itu, Search menegaskan akan meneruskan perjuangan muzik, selain berjanji menggegarkan dunia hiburan tanah air dengan muzik mereka.

Mengimbas semula kolaborasi dengan HOC, selepas kejayaan Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang berlangsung 11 Jun 2022, band itu meneruskan momentum dengan menutup tirai 2022 di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 24 Disember lalu.

Bersama vokalis dari Indonesia, Denden Gonjalez, mereka merancang konsert jelajah di beberapa bandar raya di seluruh negara, selain dikatakan dalam perbincangan akhir dengan penganjur konsert di Indonesia.

Terdahulu, sekitar Mei 2021, Amy Search atau Datuk Suhaimi Abdul Rahman dan Nasir Daud bersama anak Allahyarham Yazit Ahmad mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas HOC dan pemiliknya, Mozylir Mokhtaruddin.

Tindakan tersebut diambil susulan tindakan syarikat berkenaan menggunakan nama Search menjual barangan premium kumpulan itu termasuk kasut Aliph X Search tanpa mendapat persetujuan mereka.

Begitupun, Din dan Kid yang kemudian tampil menegaskan mereka mempunyai hak terhadap jenama serta tanda dagang Search meneruskan saja jualan barangan disebutkan yang diuruskan HOC, selain merencana kerjaya seni bersama syarikat itu.

Kemelut yang terlebih dahulu menyaksikan band rock ikonik berusia hampir lima dekad itu berpecah dua seakan tiada penghujung apabila masing-masing berterusan berbalas kenyataan.

Sementara itu, hingga kini baik Kid atau nama sebenarnya Hamzah Mohd. Taib, 55, mahupun abangnya, Din belum lagi memperincikan mengenai pembubaran kerjasama dengan HOC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI