fbpx

Jangan buat penginapan pekerja asing macam kandang kerbau – Sivakumar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah yang didiami pekerja warga asing. - SADDAM YUSOFF

KLANG – Penginapan pekerja asing di sebuah kilang papan di Kampung Batu Empat di sini tidak ubah seperti ‘kampung setinggan’ dengan mempunyai laluan kecil bagi memasukinya serta keadaan setiap bilik sempit tanpa tilam dihuni lebih enam orang.

Difahamkan, tempat penginapan yang mempunyai lebih 100 bilik didiami hampir 200 pekerja dibuat secara haram tanpa permohonan lebih tiga tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, situasi itu amat mendukacitakan dengan kebajikan pekerja terabai dan pihak pengurusan seterusnya telah mengabaikan isu kemanusian.

Katanya, majikan perlu ingat bahawa isu tempat penginapan pekerja asing bukan diperhatikan masyarakat tempatan malah juga di peringkat antarabangsa.

Sivakumar ( tengah depan) ketika menanyakan seorang pekerja di tempat penginapan sebuah kilang papan di Kampung Batu Empat, Klang. FOTO SADDAM YUSOFF

“Dalam keghairahan kita mencari keuntungan, majikan tidak boleh abaikan dan tugas mereka supaya pekerja dapat kebajikan ( tempat tinggal). Ini isu kemanusiaan.

“Bila sediakan tempat tinggal pastikan sesuai. Jangan buat macam kandang lembu, kandang kerbau,” katanya ketika ditemui selepas operasi bersepadu Akta 446 di lokasi kejadian hari ini.

Dalam operasi tersebut, sebanyak tiga buah kilang termasuk perabot diperiksa yang mempunyai kira-kira 570 pekerja asing sama ada dari Nepal, Bangladesh, Myanmar dan India.

Jelasnya, beliau turut tersentuh apabila soal siasat dengan pekerja di kilang itu mendapati mereka tidak diberikan tilam oleh majikan.

“Tempat memasak mereka amat buruk sekali dan jejaskan kesihatan dan terdedah bahaya kebakaran. Semua perkara ini harus diberikan perhatian serius (majikan).

“(Kita juga bimbang) apabila berlaku pandemik ( Covid-19 semula) bagaimana hendak tangani masalah ini,” tegasnya.

Justeru, kata beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap semua kecuaian pihak majikan dengan kertas siasatan dibuka dan akan didakwa di mahkamah nanti.

Tambah Sivakumar, kerajaan akan membawa ramai pekerja asing dalam lima sektor yang telah diumumkan sebelum ini iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (melibatkan restoran sahaja) dengan majikan perlu memastikan kebajikan terutama penginapan menjadi fokus mereka.

“Ini teguran dan nasihat saya (kepada majikan) yang mahu pekerja asing dan pastikan tempat tinggal sesuai serta layan mereka sebagai manusia.

“Jangan ambil kesempatan dan bersikap sambil lewa. Pemeriksaan akan dilakukan lebih kerap sama ada sebelum pekerja dibawa masuk dan selepas enam bulan kelulusan diberikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI