fbpx

Banjir: 196 aset, 976 pegawai dan anggota digerakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN ketika ditemui pemberita semasa meninjau keadaan banjir di Kahang, Kluang, Johor hari ini.

KLUANG – Sebanyak 196 aset melibatkan 70 buah bot, 69 buah lori, 45 buah kenderaan pacuan 4 roda serta 12 buah land rover daripada pelbagai agensi digerakkan bagi kerja-kerja membawa keluar mangsa banjir di seluruh negeri Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kerja-kerja menyelamat mangsa melibatkan 976 pegawai dan anggota daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lain-lain lagi.

Katanya, kejadian banjir kali ini melibatkan enam daerah dengan 38 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka yang menempatkan seramai 3,925 sehingga pukul 6 petang ini.

“Daerah-daerah yang terlibat pula adalah di Segamat melibatkan 395 keluarga (1419 mangsa), Kota Tinggi 138 keluarga (569 mangsa), Kluang 330 keluarga (1145 mangsa), Mersing 160 keluarga (424 mangsa), Batu Pahat 36 keluarga (130 mangsa) dan Muar 61 keluarga (238 mangsa).

” Di Kluang, enam perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Orang Asli Pucur, Sungai Peroh, Sedohok, Kuala Sengka, Air Pasir dan Berasau melibatkan seramai 647 mangsa juga sudah terputus perhubungan dengan bekalan makanan bertahan sehingga esok.

“Turut berhadapan masalah sama adalah kira-kira 1,700 pekerja di dalam 14 buah ladang kelapa sawit di Kahang,”katanya kepada Media di Balai Polis Kahang, hari ini.

Turut hadir sama adalah Panglima Tujuh Briged Brigedier Jeneral Mohamad Suria Mohamad Saad, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Mohd NohNoh dan Pegawai Pemerintah Batalion ke Lima Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurut Kamarul Zaman lagi, pihaknya akan mengusahakan gerakan menghantar bantuan kepada semua kampung dan ladang terlibat esok sama ada melalui bot atau helicopter dari JBPM, ATM dan PDRM.

“Jalan yang ditutup untuk semua lalulintas adalah Jalan Jabi – Bukit Tempurung (Segamat), Jalan Kampung Tungku Tiga – Felda Pemanis (Segamat) dan Kilometer 151 Jalan Johor Bahru – Seremban (Labis).

“Manakala tanah runtuh berlaku di No 311A Blok 13 Jalan Mangga, di Felda Linggiu Bandar Tenggara dan Kilometer 10.2 Jalan Seelong – Ulu Tebrau menghala ke Kota Tinggi,”katanya.

Menurut Kamarul Zaman, orang ramai yang enggan berpindah ke PPS atas alasan takut rumah dicerobohi boleh dikenakan tindakan Mahkamah oleh pihak berkuasa.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI