fbpx

Tiada isu diskriminasi libatkan bengkel SPM di Johor – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan tiada isu diskriminasi dikesan membabitkan penganjuran bengkel Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran sebuah sekolah menengah di Johor baru-baru ini.

KPM menerusi kenyataan hari ini berkata, Bengkel Persediaan Peperiksaan SPM oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor itu telah lama dirancang pihak sekolah.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor turut menjelaskan bahawa bengkel itu diadakan atas inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dan membabitkan dua siri bengkel.

“Bengkel itu juga mendapat kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) dengan Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).

“Laporan awal mendapati, bengkel itu adalah salah satu dari pelbagai perancangan pihak berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM,” katanya.

Jelasnya, pada 19 dan 20 Januari lalu, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon Galus (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.

Jelasnya lagi, bengkel yang dilaksanakan itu diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

Malah, KPM dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari ini bertempat di hotel sama.

“Kami memohon kerjasama agar ibu bapa dan masyarakat supaya terus menghubungi KPM melalui platform rasmi sekiranya terdapat sebarang isu atau masalah terutama melibatkan murid-murid,” ujarnya.

Sebelum ini, tular di Twitter berkenaan satu tangkap layar dalam kumpulan WhatsApp antara ibu bapa dan kakitangan sekolah itu mengenai rasa tidak puas hati segelintir ibu bapa selepas sekolah itu didakwa mengadakan bengkel SPM secara eksklusif untuk pelajar Islamnya yang berprestasi rendah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI