fbpx
ROIHAN bersama isteri pertamanya, Enah (kiri), isteri kedua, Melati (kanan) ketika bersanding dengan isteri ketiga, Izanarilah (tiga dari kiri) di Pontian minggu lalu.

Roy bertuah, dua isteri pinang madu ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Seorang pemandu lori kelapa sawit yang menetap di Kampung Parit Sulaiman, Ayer Baloi, di sini, mengecapi hidup bahagia apabila dapat menawan hati tiga wanita untuk dijadikan peneman hidupnya.

Roihan Tasukee@Nor, 60, berkata, rahsia utama dalam melayari bahtera rumah tangga adalah jujur, ikhlas dan tidak menipu antara satu sama lain.

Dia yang mesra disapa Roy itu baharu sahaja melangsungkan perkahwinan kali ketiga pada 17 Januari lalu dengan restu dan izin dua isterinya.

Lebih bertuah, isteri pertama dan keduanya sendiri merisik bakal madu mereka yang juga seorang ibu tunggal, Izanarilah Mohammad, 51.

“Sebelum ini saya berkahwin dengan isteri pertama, Enah Sirin, 55, pada 1985, manakala isteri kedua, Melati Mohd. Hussein, 40, pula pada 2012.

“Saya berkenalan dengan Izanarilah sejak empat tahun lalu menerusi satu kumpulan Whats­App sebelum lebih rapat dan hati kami saling bertaut.

“Tiada sebarang ilmu pengasih atau pemikat wanita yang saya gunakan, yang penting adalah kejujuran, tidak menipu dan ikhlas sewaktu menyatakan hasrat menambah isteri baharu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Roihan berkata, bagi memastikan proses perkahwinan tiada rahsia, dia mengajak isteri pertama dan kedua ke Mahkamah Syariah, di sini, untuk melakukan proses pengesahan atau persetujuan untuk poligami kali ketiga.

Katanya, isteri baharunya itu merupakan seorang peniaga di Kampung Tanjung Selangor, Pekan, Pahang, manakala isteri pertama suri rumah sepenuh masa dan isteri kedua seorang guru agama.

Hasil perkahwinan dengan isteri pertama, dia dikurniakan dua anak perempuan berusia 29 dan 32 tahun, manakala isteri kedua mendapat dua anak lelaki berusia 8 dan 4 tahun.

Dia yang mempunyai tiga cucu berkata, isteri pertama dan ke­dua tinggal di rumah berhampiran satu sama lain di Kampung Parit Sulaiman, Ayer Baloi, di sini.

Sementara itu, Enah berkata, sepanjang hidup bersama suaminya selama 37 tahun dan bermadu selama 10 tahun, semua­nya berjalan baik dan dia rapat dengan Melati yang pernah be­kerja di kilang sama sebelum ini.

“Ketika suami beritahu ingin berkahwin baharu, saya dan Melati beri keizinan dan sama-sama uruskan majlis nikah dan san­ding mereka berdua,” ujarnya.

Ujar Izanarilah pula, hanya pada tahun lalu, dia berjumpa suami di Dataran Parit Sulong, Batu Pahat sebelum mengambil keputusan bernikah Selasa minggu lalu.

“Paling melucukan anak-anak kata, ingatkan seorang tetapi dah bertiga,” ujarnya berseloroh.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN