fbpx

Malaysia maju jika henti amalan rompak kekayaan negara – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2023 Ketua Menteri Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Spice, Bayan Baru hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Nama Malaysia mampu dijulang tinggi sekiranya barisan pimpinan politik mahupun penjawat awam peringkat tertinggi dan badan penguat kuasa menghentikan amalan merompak kekayaan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya dan yakin negara mempunyai potensi untuk diangkat sebagai negara maju di rantau ini sekiranya pihak berkenaan berjaya menghentikan perbuatan tersebut.

Menurut Anwar, beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak atau individu yang mengambil kesempatan dalam perkara berkaitan.

“Negara ini mampu naik balik. Syaratnya hentikan sikap, perangai pemimpin politik, penjawat awam peringkat tertinggi, badan penguatkuasaan amalan merompak kekayaan negara.

“Saya tidak bertolak ansur lagi dengan sikap orang yang guna kontrak atau projek dan mendapat, mengambil kesempatan untuk mencari kekayaan yang bukan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 Ketua Menteri Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Spice di Bayan Baru, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.

Dalam pada itu, Anwar berkata, rakyat Malaysia seharusnya menolak fahaman perkauman, rasuah dan salah guna kuasa.

“Jika kita berjaya dalam masa yang singkat, saya yakin kita akan catat tahap kemajuan yang sangat cemerlang yang belum kita pernah catat selama ini.

“Ini hanya boleh berlaku dengan perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI