fbpx

Wali, saksi terlibat nikah sempadan boleh didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hukuman tinggi yang diwartakan itu bertujuan menghalang pasangan di Terengganu bernikah tanpa kebenaran termasuk di Thailand. – GAMBAR HIASAN

KUALA TERENGGANU – Penduduk Terengganu perlu berfikir dua kali untuk berkahwin tanpa kebenaran termasuk di Thailand selepas pihak berkuasa agama negeri ini memperketatkan undang-undang berkaitan perkahwinan.

Mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017, bukan sahaja pasa­ngan suami isteri yang bernikah tanpa kebenaran dikenakan hukuman oleh mahkamah syariah, malah wali dan saksi juga berdepan tindakan sama.

Hukuman denda RM2,000 hingga RM5,000 bagi setiap pertuduhan selain penjara maksimum tiga tahun dikenakan, jika sabit kesalahan.

Bagi perkahwinan tanpa kebenaran, mahkamah syariah boleh mengenakan denda keseluruhan sehingga RM33,000 kepada pasangan pengantin, wali dan dua saksi.

Hukuman ditetapkan Terengganu berkaitan perkahwinan tanpa kebenaran itu adalah antara yang tertinggi di negara ini.

Ketua Pendakwa Syariah Terengganu, Wan Abd. Malik Wan Sidek berkata, pengantin lelaki berdepan sehingga empat pertuduhan, manakala pengantin perempuan dua dan masing-masing satu pertuduhan bagi wali dan saksi.

Menurut beliau, antara ke­salahan yang boleh disabitkan untuk pengantin lelaki ialah akad nikah, berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran serta tidak melaporkan perkahwinan dalam tempoh dua bulan.

“Kesemua kesalahan itu di bawah Seksyen 37(1), Seksyen 125, Seksyen 126 dan Seksyen 32 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 membawa hukuman denda RM2,000 hingga RM5,000.

“Pesalah lelaki juga boleh dipenjara sehingga tiga tahun,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Wan Abd. Malik memberitahu, pasangan wanita pula boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 32(2) dan Seksyen 125 enakmen sama.

Tambahnya, wali yang menikahkan anak mereka di Thailand boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 36 enakmen sama iaitu mengakad nikah perkahwinan yang tidak dibenarkan yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 dan penjara sehingga tiga tahun.

“Saksi tempatan yang ikut serta dalam pernikahan di Siam juga tidak terlepas hukuman kerana bersubahat di bawah Seksyen 137 enakmen sama,” katanya.

Wan Abd. Malik menjelaskan, hukuman tinggi yang diwartakan enam tahun lalu itu bertujuan untuk menghalang pasangan di Terengganu bernikah tanpa kebenaran di luar negara.

“Perkahwinan yang suci di sisi agama termasuk poligami sepatutnya dilaksanakan secara ter­tib di negeri sendiri bagi mengelak implikasi negatif pada masa hadapan,” katanya.

Kosmo! 12 Januari lalu me­laporkan denda yang rendah dan tidak langsung membebankan menyebabkan setiap pasangan yang ingin berumah tangga termasuk menambah isteri terus berani mengambil keputusan untuk berkahwin di Thailand.

Berdasarkan undang-undang di kebanyakan negeri, kesalahan tersebut hanya dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI