fbpx

Mahkamah: “Permohonan minta tangguh, munasabah ” – Muhammad Shafee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, hari ini berhujah permohonan penangguhan rayuan oleh peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika merayu bagi pihak Najib adalah munasabah.

Ini kerana secara amalan, ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk mahkamah memberikan penangguhan atas dasar peguam itu baharu dilantik.

Malah katanya, pihak pendakwaan sendiri tidak membantah permohonan penangguhan itu.

“Mungkin kerana, pendakwaan sendiri menyedari kewajaran permohonan penangguhan oleh pasukan peguam dan peguam cara baharu, berdasarkan pengalaman mereka sendiri dalam pelbagai kes di mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan.

“Oleh itu, agak pelik apabila Mahkamah Persekutuan tidak memberikan penangguhan antara tiga ke empat bulan bagi membolehkan peguam cara dan peguam bela baharu bersedia dengan baik,” katanya.

Muhammad Shafee berkata demikian semasa berhujah di hadapan lima panel hakim di Mahkamah Persekutuan di sini, yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli.

Hakim lain yang turut bersidang ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Lima panel hakim itu akan mendengar semakan yang difailkan Najib yang mana kelima-limanya panel yang berlainan dengan panel hakim yang mengekalkan keputusan terdahulu.

Berhujah lanjut, Muhammad Shafee berkata, tiada dakwaan atau terbukti bahawa permohonan penangguhan itu adalah satu muslihat untuk melengah-lengahkan prosiding.

Katanya, tindakan Mahkamah Persekutuan ketika itu yang tergesa-gesa semasa prosiding memutuskan keputusan telah mendatangkan kecurigaan.

Prosiding seterusnya bersambung 20 Februari ini.

Untuk rekod pada 18 Ogos tahun lalu, ketika rayuan akhir kes SRC, peguam Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib jika penangguhan prosiding tidak dibenarkan.

Pada masa sama, beliau turut merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan ketika itu menolak permohonan Hisyam.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan, ketika membacakan keputusan berkata, mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk menolak permohonan berkenaan.

Katanya, tindakan peguam menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam keadaan di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.

Pada 6 September 2022, bekas ahli Parlimen Pekan itu memfailkan semakan terhadap keputusan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat atas alasan haknya untuk mendapatkan perbicaraan adil sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan.

Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim yang diketuai Hakim Tengku Maimun sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib, sebelum ini.

Turut bersidang pada tarikh tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang pada tarikh yang sama.

Antara alasan yang dikemukakan Najib dalam notis usul semakan itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar dan memutuskan kes itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mempunyai konflik kepentingan apabila mendengar perbicaraan itu kerana beliau merupakan bekas Kaunsel Kumpulan Maybank yang memberikan pinjaman kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau juga menyatakan, pasukan pembelaan yang baharu tidak diberikan ruang dan peluang untuk bersedia sebelum boleh berhujah dalam rayuan akhir itu.

Najib juga mendakwa pendengaran rayuan akhir itu telah dijalankan secara sebelah pihak (ex-parte) apabila tiada hujahan daripada pihak pembelaan.

Selain itu, berlaku konflik kepentingan apabila Hakim Tengku Maimun enggan menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut sedangkan suaminya, Datuk Zamani Ibrahim, dengan menunjukkan rasa tidak senang terhadap Najib sejak Mei 2018.

Oleh itu, Najib antara lain memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukumannya sehingga semakan itu diputuskan.

Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI