fbpx

Mahkamah: Najib gagal bantah komposisi hakim, prosiding semakan diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara penyokong Najib yang hadir memberi sokongan untuk pendengaran permohonannya agar sabitan dan hukuman penjaranya dalam kes rasuah SRC International disemak semula di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini. FOTO/ FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam bantahannya berhubung komposisi Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang akan mendengar semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman terhadapnya dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Keputusan sebulat suara itu dibuat Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli di Mahkamah Persekutuan yang mengetuai lima panel sebentar tadi.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya hakim Abdul Rahman berkata adalah jelas dalam undang-undang bahawa Ketua Hakim Negara diberi kuasa untuk menamakan hakim Mahkamah Rayuan bersidang bersama panel di Mahkamah Persekutuan mengikut peruntukkan 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru bantahan pemohon (Najib) ditolak,” kata hakim Abdul Rahman.

Mahkamah kemudian meneruskan prosiding pendengaran bagi semakan sabitan tersebut.

Terdahulu pada prosiding pagi tadi belum bermulanya pendengaran semakan, peguam Datuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang Najib membantah komposisi hakim Abu Bakar.

Semasa berhujah, Muhammad Shafee berkata bantahan yang dibangkitkan meletakkannya dirinya berada dalam “kedudukan yang tidak selesa” kerana terpaksa menolak Abu Bakar yang turut disenaraikan dalam panel itu.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut mempersoalkan apakah kepentingan keadilan bagi meletakkan Abu Bakar dalam panel itu di mana Ketua Hakim Negara tidak menyatakan alasan berhubung penyenaraian berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V .Sithambaram berkata pemohon mestilah menunjukkan terdapat keadaan bahaya sebenar berat sebelah dengan penyenaraian Abu Bakar dalam komposisi panel.

Katanya, tidak ada persoalan dalam penyenaraian Abu Bakar dalam komposisi panel kerana ia dibuat sejajar peruntukan dalam perlembagaan dan beliau adalah hakim yang kompeten dan berwibawa kerana dinamakan oleh ketua hakim.

Terdahulu, seramai lima panel hakim akan mula mendengar semakan yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Najib bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekal sabitan salah dan hukuman terhadapnya selepas didapati bersalah dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Mereka ialah hakim Abdul Rahman , tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Hari ini pendengaran semakan itu akan didengar oleh panel-panel hakim tersebut yang mana ia panel yang berlainan dengan panel hakim yang mengekalkan keputusan terdahulu.

Pada 6 September 2022, bekas ahli Parlimen Pekan itu memfailkan semakan terhadap keputusan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat atas alasan haknya untuk mendapatkan perbicaraan adil sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan.

Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim yang diketuai Hakim Tengku Maimun sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.

Turut bersidang pada tarikh tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang pada tarikh yang sama.

Antara alasan yang dikemukakan Najib dalam notis usul semakan itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar dan memutuskan kes itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mempunyai konflik kepentingan apabila mendengar perbicaraan itu kerana beliau merupakan bekas Kaunsel Kumpulan Maybank yang memberikan pinjaman kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau juga menyatakan, pasukan pembelaan yang baharu tidak diberikan ruang dan peluang untuk bersedia sebelum boleh berhujah dalam rayuan akhir itu.

Najib juga mendakwa pendengaran rayuan akhir itu telah dijalankan secara sebelah pihak (ex-parte) apabila tiada hujahan daripada pihak pembelaan.

Selain itu, berlaku konflik kepentingan apabila Hakim Tengku Maimun enggan menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut sedangkan suaminya, Datuk Zamani Ibrahim dengan menunjukkan rasa tidak senang terhadap Najib sejak Mei 2018.

Oleh itu, Najib antara lain memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukumannya sehingga semakan itu diputuskan.

Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI