fbpx

Kenya isytihar ‘perang’ terhadap jutaan burung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
- RACUN makhluk perosak digunakan untuk membunuh burung quelea. - Luke Dray/Getty Images

NAIROBI, Kenya – Usaha kerajaan Kenya untuk menghapuskan kira-kira enam juta burung quelea berparuh merah yang memakan tanaman dijangka memberi kesan terhadap burung pemangsa dan spesies liar lain, demikian menurut amaran pakar-pakar seperti laporan akhbar The Guardian kelmarin.

Kemarau berterusan di rantau Tanduk Afrika telah mengurangkan pertumbuhan rumput asli yang mana benihnya merupakan sumber makanan utama burung quelea paruh merah.

Ia menyebabkan spesies burung itu menyerang ladang bijirin untuk mendapatkan makanan sekali gus mengancam padi seluas 810 hektar di negara itu. Kira-kira 121 hektar sawah telah dimusnahkan oleh burung tersebut.

Seekor burung quelea boleh memakan sehingga 10 gram bijirin sehari, demikian menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO). Petani di barat Kenya malah kehilangan hampir 60 tan bijirin disebabkan burung itu.

Pada 2021, FAO menganggarkan kerugian hasil tanaman yang dikaitkan dengan burung quelea adalah berjumlah AS$50 juta (RM216.8 juta) setiap tahun.

Penyemburan Fenthion yang merupakan sejenis racun makhluk perosak menjadi antara kaedah pilihan dalam memerangi haiwan perosak di Afrika.

Akan tetapi, penyelidik-penyelidik berkata, bahan kimia itu berbahaya kepada manusia dan organisma lain.

“Oleh itu, semburan Fenthion boleh mencederakan atau membunuh haiwan lain secara tidak sengaja, dengan kesan buruknya akan menjejaskan organisma bukan sasaran,” kata mereka.

Pengurus spesies dan tapak di Nature Kenya, Paul Gacheru berkata, kaedah digunakan untuk mengawal spesies burung quelea harus dimaklumkan oleh kerajaan dengan jelas.

Hal ini kerana penggunaan avicide (bahan pembunuh burung) tanpa sasaran khusus boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar serta kematian burung dan haiwan lain.

Dengan anggaran populasi pembiakan burung di Afrika sebanyak 1.5 bilion, ahli-ahli ornitologi berkata, tiada burung pemangsa yang cukup untuk menghapuskan koloni spesies quela atau kaedah penyelesaian dijamin mesra alam. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI