fbpx
Gambar hiasan

Biskut raya akan naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih kurang tiga bulan lagi, namun kini ramai pembuat biskut raya runsing apabila harga bahan mentah untuk membuat hidangan itu naik mendadak sehingga 50 peratus sejak awal tahun ini.

Keadaan itu membuatkan peniaga terpaksa memikirkan strategi baharu untuk menjamin keuntungan mereka termasuk menaikkan harga jualan sehingga RM5 mengikut jenis biskut raya menjelang sambutan Aidilfitri akan datang.

Seorang pengusaha biskut dan kek raya, Siti Nur Aisyah Sudah, 46, berkata, rata-rata peniaga sememangnya kurang senang dengan senario itu kerana dikhuatiri menjejaskan hasil jualan mereka terutama melibatkan kenaikan harga biskut raya.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan harga bahan mentah terutama mentega dan telur ayam sehingga 50 peratus menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi.

“Paling ketara kenaikan harga mentega dan telur. Saya jangka harga bahan-bahan ini termasuk bahan sam­pingan lain akan naik lagi menje­lang Ramadan ini.

“Sebagai contoh, sekarang harga mentega asli (pure butter), satu pek berat 250 gram naik antara RM1 hingga RM2.

“Dahulu harga mentega asli lebih kurang RM9 tetapi sekarang ada kedai jual lebih RM11,” kata­nya kepada Kos­mo! semalam.

Antara biskut raya yang dihasilkan Rynn sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu.

Siti Aisyah memberitahu, ke­sukaran mendapatkan telur ayam pula menyebabkan dia terpaksa berulang-alik ke pasar raya memandangkan pembelian bekalan itu adalah terhad untuk pelanggan setiap hari.

Katanya, selain mengurangkan kuantiti biskut di dalam ba­lang pada tahun ini, beberapa kuih raya juga mungkin akan mengalami kenaikan harga antara RM1 hingga RM3.

Seorang peniaga yang i­ngin dikenali sebagai Rahmah, 42, memberitahu, tart nanas antara kuih raya yang akan me­ngalami kenaikan harga sehingga RM5.

“Contohnya sebelum ini, 50 biji tart nanas dijual pada harga RM35 sebalang, tetapi mungkin saya akan naikkan kepada RM40 kerana bahan membuat kuih itu sudah mahal,” ujarnya.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai Rynn, 39, pula berkata, kenaikan harga paling ketara adalah mentega, tepung dan telur.

Katanya, harga mentega asli bagi satu kotak berisi 40 ketul sebelum ini sekitar RM330, namun sejak awal tahun ini lebih RM410.

Katanya, telur ayam gred A pula sebelum ini dijual pada harga RM13.90 sepapan, tetapi sekarang ada kedai yang menjual sehingga RM20.

“Itu pun telur susah nak dapat, terpaksa tempah awal daripada peniaga, kalau tak terpaksa guna telur omega yang harganya jauh lagi mahal.

“Bagi mentega pula, saya gunakan mentega asli bagi menghasilkan biskut berkualiti pre­mium dan rasanya lebih sedap. Jadi kenaikan yang amat ketara ini sungguh dirasai oleh pengusaha biskut premium seperti saya.


Selain kekurangan bekalan, harga telur ayam turut mengalami kenaikan terutama gred A. – GAMBAR HIASAN

“Apa boleh buat, pe­langgan minta biskut premium, terpaksa kami sediakan,” ujarnya.

Ujar Rynn, pada tahun ini, dia menjual kira-kira 10 jenis biskut raya premium antaranya Tart Nutella, Tart Nenas, Oreo Crunchy, Kranberi Cornflakes, Sugee Brunei Biskut Makmur, Coklat ‘Snowy Oat’ dan Cornflake Karemel.

“Semua biskut ini berharga RM35 sebalang, tetapi kuantiti terpaksa dikurangkan bagi menampung kenaikan kos.

“Jika tahun lalu, sebalang 50 biji, tahun ini akan dikurangkan kepada 40 hingga 45 biji.

“Terpaksa kurangkan kuantiti, kalau tidak, tak dapat kami nak ‘cover’ kenaikan harga barang,” ujarnya.

Rynn berkata, setakat ini dia telah menerima beberapa tempahan daripada pelanggan tetap dan dijangka jualan biskut tahun ini tidak berkurangan walaupun ekonomi mencabar.

“Kalau tahun lalu saya dapat jual kira-kira 700 balang pelbagai jenis biskut raya, tahun ini mungkin akan cecah angka itu ataupun lebih. Ini kerana, bagi pelanggan, walaupun mahal tetapi rasa tetap sama yang akan jadi pilihan.

“Macam saya dah ada pelanggan tetap, berdasarkan ‘tester’ yang kita edarkan, pelanggan berpuas hati dan mereka akan beli lagi tahun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN