fbpx

Eksport muzik K-Pop cecah RM1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Blackpink terdiri daripada (dari kiri) Lisa, Jisoo, Jennie, and Rosé menghadiri satu acara di Newark, New Jersey pada 28 Ogos 2022. – AFP

SEOUL – Eksport album genre pop Korea Selatan (K-pop) mencatat angka tertinggi baharu pada tahun lalu, demikian menurut data kelmarin seperti yang dilaporkan akhbar The Korean Times.

Menurut akhbar berkenaan, sekatan pergerakan semasa pandemik Covid-19 mengakibatkan permintaan kepada album berbentuk fizikal terus meningkat.

Eksport album K-pop pada tahun lalu mencecah AS$233.113 juta (RM1.008 bilion) dan meningkat 5.6 peratus berbanding setahun sebelumnya. Angka tersebut adalah berdasarkan, statistik import dan eksport Perkhidmatan Kastam Korea (KCS).

Angka tahun lalu itu menunjukkan eksport muzik K-pop meningkat mengatasi jumlah tertinggi sebelumnya iaitu AS$220.85 juta (956.50 juta) yang dicatatkan pada 2021.

Peningkatan itu berlaku disebabkan oleh peminat K-pop di luar negara memilih untuk membeli album sebagai tanda sokongan kepada bintang pujaan mereka.

Ini kerana mereka tidak dapat melihat bintang-bintang K-pop beraksi di pentas konsert disebabkan pandemik Covid-19, manakala pembelian album memberikan alternatif. Situasi itu mendorong jualan album K-pop meningkat melepasi angka AS$100 juta (RM433 juta) pada 2020 dan AS$200 juta (RM866 juta)tahun berikutnya.

Jepun muncul negara yang mengimport paling banyak album K-pop tahun lepas, berjumlah AS$85.74 juta (RM371.34 juta) diikuti oleh China dan Amerika Syarikat (AS) dengan masing-masing mengimport AS$51.33 juta (RM222.31 juta) dan AS$38.88 juta (RM168.39 juta).

Turut berada dalam senarai 10 teratas ialah Taiwan, Belanda, Thailand, Hong Kong, Jerman, Indonesia dan Perancis.

 

 

 

IVE beraksi semasa konsert K-Pop di Stadium Jamsil, Seoul pada 7 Oktober 2022. – AFP

 

 

Pada kebiasaannya, studio hiburan K-pop tidak mendedahkan butiran jualan album oleh artis yang berada di bawah naungan mereka.

Bagaimanapun, kumpulan nyanyian K-pop seperti BTS, Stray Kids dan Seventeen di samping kemunculan beberapa kumpulan gadis baharu yang mendominasi carta muzik tahun lepas, menjadi pemacu utama di sebalik aliran menaik tersebut.

Album kumpulan Seventeen, Face The Sun dan album Born Pink oleh Blackpink masing-masing terjual sebanyak 2.87 juta dan 2.52 juta unit, demikian berdasarkan kepada data tersebut.

Dalam pada itu, kumpulan K-Pop wanita, Ive yang menjadi sensasi pada 2022, menduduki tempat ke-10 carta tersebut dengan albumnya dijual sebanyak 1.65 juta unit menerusi single ketiganya, After Like.

Namun, pergantungan industri K-Pop kepada tiga pasaran besar iaitu Jepun, China dan AS meningkat sebanyak 3.8 mata peratusan daripada 71.7 peratus pada 2021 kepada 75.5 peratus pada 2022, demikian menurut statistik KCS. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN