fbpx

Samun BAP: SOP pengeluaran wang dilanggar – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika mengadakan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Chepor di Ipoh hari ini.

IPOH – Kementerian Pendidikan mengakui pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) telah berlaku dalam insiden samun wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bernilai kira-kira RM109,000 di Kampung Baru Semenyih, Selangor semalam.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan kini menunggu laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor serta hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Kita ambil serius terhadap kes ini kerana ia melibatkan jumlah yang cukup besar. Kedua, SOP kewangan ini telah dilanggar.

“Kita ada SOP yang ketat bahawa wang lebih dari RM10,000, mesti ada pengiring. Inikan pula satu jumlah yang cukup besar. Jadi kita tunggu laporan polis dan JPN Selangor sebelum umum tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Media semalam melaporkan mengenai wang BAP bernilai RM109,000 disamun selepas ia ditinggalkan di dalam kereta seorang guru besar sebuah sekolah di Semenyih yang pergi membeli minuman.

Apabila dia kembali ke keretanya selepas 10 minit meninggalkan kenderaannya itu, tingkap belah kanan bahagian belakang telah dipecahkan dan wang tersebut yang diletakkan di dalam beg dan disorok di bawah kerusi penumpang hadapan telah dicuri.

Terdahulu, Fadhlina mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Seri Tanjung dan Sekolah Kebangsaan Chepor di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan terhadap guru besar terbabit akan diserahkan kepada JPN Selangor dan pihak polis.

“Saya memberi jaminan bahawa kes ini sedang disiasat dengan teliti dan kita tidak kompromi soal kecuaian. Selepas ini tidak boleh berlaku isu kecuaian.

“Ini kerana ia adalah pengurusan amanah cukup besar melibatkan hak kanak-kanak untuk mendapatkan BAP untuk urusan persekolahan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI