TIDAK tegar melihat sahabat baiknya sering menerima kecaman sehingga hilang keyakinan diri, penyanyi Khai Bahar mengakui kolaborasi duet bersama Nabila Razali sebagai simbolik sokongannya terhadap penyanyi asal Petaling Jaya itu.
Khai mahu Nabila kembali berkeyakinan untuk meneruskan kerjaya sebagai anak seni. Pelantun Luluh itu juga menganggap sudah menjadi tanggungjawab sebagai sahabat untuk sentiasa memberi semangat dan mahu penyanyi lagu Aku Terluka itu agar tidak berputus asa.
“Sebenarnya kami memang dah lama rancang untuk berduet sebab kami kenal sejak sama-sama hijau dalam industri lagi. Sebelum ini banyak bekerjasama dalam menjayakan kempen-kempen tapi tidak ada lagu bersama.
“Tidak dinafikan juga Selagi Ku Ada sebagai tanda sokongan dan memberi semangat buat Nabila supaya dia kembali yakin dan teruskan perjuangannya dalam industri seni.

“Saya percaya, sebagai antara kawan yang rapat, saya perlu beri dia kekuatan,” ujarnya.
Selain sentiasa menyokong pemilik nama Muhammad Khairul Baharudin, 29, itu kagum dengan kekuatan Nabila yang terlihat kuat berdepan sebarang isu.
Dia bahkan menyifatkan penyanyi itu seorang yang tidak mengalah dan terlihat kuat berusaha memperbaiki diri menjadi lebih baik.
“Saya lihat dia sangat kuat, apa juga orang cakap, dia tak mengalah. Bagi saya Nabila sudah ada peningkatan dalam nyanyiannya.
“Malah, ketika kami buat rakaman lagu Selagi Ku Ada pun, dia tidak ada masalah dan memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, Khai juga teruja apabila pertama kali menyanyikan lagu ciptan Amylea Azizan. Menurut Khai, Amylea seorang yang sangat kreatif dan sentiasa berhasil membuahkan lagu-lagu merdu.

Rajin ke gimnasium
Berkongsi perkembangan lain, Khai mengakui kerap ke gimnasium bagi menjalani rutin senaman dan mengamalkan pemakanan sihat.
Katanya, dia kembali mengamalkan gaya hidup sihat selepas menyedari kesan jangkitan Covid-19.
“Saya kembali bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk dapatkan stamina. Semua itu penting untuk seseorang penyanyi, terutama jika banyak membuat persembahan pentas.
“Selepas dijangkiti Covid-19 saya dapat rasa kesannya seperti sukar untuk menyanyi kerana pernafasan terjejas, rasa semput dan tak selesa,” ujarnya.

Khai selepas Keisya Levronka
Berbalik tentang Selagi Ku Ada, Nabila sebenarnya menarik nafas lega apabila impian berduet dengan Khai Bahar akhirnya tercapai.
Pelakon drama Kerana Cinta Itu Ada itu berkata, selain berkawan rapat, Khai seorang penyanyi lelaki yang hebat dan mempunyai suara merdu.
“Kami sudah selalu bekerjasama tapi bukan dalam nyanyian. Saya tahu sukar untuk cari lagu yang sesuai dengan vokal kami berdua.
“Alhamdulillah kami jumpa Amylea dan dia cipta lagu khas yang sesuai dengan vokal kami. Syukur juga proses rakaman berjalan lancar,” ujarnya yang pernah berduet bersama penyanyi Indonesia, Keisya Levronka menerusi lagu Tak Ingin Usai.
Berkongsi tentang muzik video, Nabila berkata, proses penggambaran dilakukan di sebuah resort di Janda Baik, Pahang hanya dalam masa sehari.
“Kami menjalani penggambaran hanya sehari dan semua dipermudahkan. Syukur juga masa penggambaran berlangsung cuaca sangat baik walaupun ketika itu musim hujan.
“Saya kagum dengan Khai yang menjayakan penggambaran dengan baik meskipun dalam keadaan tak cukup tidur,” ujarnya.
Muzik video Selagi Ku Ada arahan Azri Izhar kini boleh ditonton menerusi YouTube Nabila Razali Entertainment. Sehingga kini muzik video yang dilancarkan pada Khamis sudah mencecah lebih 200,000 tontonan.

Masih trauma
Bercakap tentang nyanyian secara langsung yang sering dipersoalkan netizen, Nabila mengakui mengalami trauma teruk selepas insiden terkucil dua tahun lalu.
Sehingga kini, dia sebenarnya masih mencari semangat memulihkan keyakinan diri, terutama dalam persembahan secara langsung.
Penyanyi berusia 30 tahun itu bagaimanapun bersyukur dikelilingi sahabat yang sentiasa menyokong.
“Jujurnya, saya masih trauma dan kurang keyakinan. Saya cuba atasi dan perbaiki tapi setiap orang melalui fasa berbeza. Saya ada cikgu vokal yang selalu pastikan saya menyanyi dengan betul dan ada peningkatan,” ujarnya.

Atur strategi kekal relevan
Bercakap tentang strategi untuk kekal relevan dalam industri, penyanyi Peluang Kedua itu berkata, selepas pelbagai gimik, dia dan pengurusannya kini beralih ke arah pendekatan berbeza.
Selepas melancarkan lagu Putus tahun lalu, dia muncul dengan sebuah novel berjudul Kerana Cinta Itu Ada yang kemudian dijadikan sebuah drama di slot Akasia, TV3.
Tambahnya, menerusi drama yang sedang ditayangkan, dia menghasilkan tiga lagu baharu iaitu Aku Terluka, Selagi Ku Ada dan Tulus sebagai lagu runut bunyi.
“Setiap kali bercakap tentang kekal relevan, saya dan pengurusan sentiasa fikir cara baharu yang belum pernah dilakukan artis lain.
“Kami hasilkan sebuah novel berdasarkan lagu Putus yang kemudian diangkat menjadi drama bersiri. Alhamdulillah.
“Daripada situ juga muncul lagu Selagi Ku Ada, Aku Terluka dan sebuah lagi lagu berjudul Tulus yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” ujarnya.
Drama Kerana Cinta Itu Ada lakonan Nabila dan Aedy Asyraf kini sedang ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat menerusi slot Akasia, TV3.
















