fbpx

EPL: Chelsea kembali di landasan kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain Chelsea meraikan gol kemenangan yang dijaringkan oleh Kai Havertz pada aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi. - Foto Twitter Chelsea

LONDON – Pasukan Chelsea akhirnya telah merekodkan kemenangan pertama pada tahun 2023 selepas menewaskan Crystal Palace 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.

Pada aksi di Stamford Bridge itu, skuad The Blues kendalian Graham Potter telah membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan pemain seperti Hakim Ziyech, Kai Havertz dan Mason Mount untuk mengemudi jentera serangan.

Namun, pasukan pelawat terlebih dahulu menguji gawang Chelsea tetapi menerusi percubaan Michael Olise pada minit ke-20 tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga.

Tersentak dengan serangan tersebut, Chelsea menggandakan asakan dan kini giliran pemain pertahanan, Thiago Silva untuk melakukan rembatan yang berjaya ditepi oleh penjaga gawang Palace, Vicente Guaita.

Bersambung pada babak kedua, Chelsea berusaha untuk memburu kemenangan dan memasukkan penyerang antarabangsa Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang untuk digantikan dengan Carney Chukwuemeka.

Gol yang dicari Chelsea akhirnya tiba hasil daripada gerakan sepakan penjuru yang disudahkan oleh Havertz untuk menewaskan Guaita pada minit ke-64.

Aubameyang hampir menggandakan kelebihan gol buat Chelsea berselang tujuh minit kemudian tetapi percubaannya sedikit tersasar.

Palace yang dikendalikan oleh Patrick Vieira berusaha untuk mencuri satu mata berharga ketika saingan berbaki 20 minit tetapi setiap percubaan yang mereka lakukan berjaya dipatahkan pertahanan Chelsea.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan dalam semua kejohanan buat skuad The Blues.

Kali terakhir Chelsea menang sebelum ini adalah pada 28 Disember 2022 dengan menewaskan Bournemouth 2-0 di laman sendiri.

The Blues kekal di tangga ke-10 liga dengan mengutip 28 mata selepas mengharungi 19 perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI