fbpx

Maryam dikecam bahasa Melayu tidak jelas, merimaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESKIPUN pertuturannya yang masih belum cukup fasih, namun Maryam tidak akan berhenti belajar dan bertutur dalam bahasa Melayu.

PETALING JAYA – Pempengaruh asal Korea Selatan, Maryam You Narae, meluahkan rasa kesal dengan kecaman netizen apabila menyifatkan pertuturannya yang tidak begitu fasih dalam bahasa Melayu sangat merimaskan.

Malah, pempengaruh berusia 31 tahun itu menegaskan bahawa dia tidak menyertai atau mengambil kelas khusus untuk mempelajari bahasa Melayu tetapi hanya belajar secara natural seperti berkomunikasi dengan orang sekeliling kerana lebih seronok dan mudah untuk dihadam.

“Saya dah duduk di Malaysia dua tahun lebih, saya cakap bahasa Melayu macam ini. Saya tidak pernah ambil kelas bahasa Melayu atau pergi ke sekolah di Malaysia sebab saya suka belajar secara natural, itu sangat seronok dan senang ingat,” ujarnya.

Sering diasak dengan kecaman yang memperlekehkan usahanya, Maryam berkata, dia lebih selesa menggunakan bahasa Melayu berbanding Inggeris.

“Saya lagi selesa cakap dalam bahasa Melayu berbanding Inggeris. Orang yang bertutur dalam bahasa Inggeris semakin bertambah dalam dunia tetapi orang cakap bahasa Melayu?” soalnya.

Dalam pada itu, ibu kepada satu orang anak itu menyatakan dia sangat bangga dengan usahanya untuk bertutur dalam bahasa Melayu walaupun tidak begitu fasih.

Maryam dengan tegas berkata, dia tidak akan mempedulikan kata-kata negatif dan tohmahan yang dilemparkan oleh netizen kepadanya.

“Saya boleh cakap bahasa Melayu dengan bangga walaupun tidak pandai sangat. Apa saja awak cakap, saya akan tetap guna bahasa Melayu.

“Kalau tidak mahu dengar, silakan berambus,” tegasnya.

Menerusi perkongsian tersebut dalam Instagram, rata-rata pengikutnya menyokong dan memberikan kata-kata semangat kepada Maryam serta menasihatinya agar terus berusaha mempelajari bahasa Melayu tanpa mempedulikan kata-kata negatif oleh netizen.

“Yang benci akan terus membenci, jangan hiraukan mereka, nak belajar bahasa asing ini bukan mudah, mereka akan berkata apa sahaja namun hanya awak tahu betapa susahnya untuk menyesuaikan diri di tempat orang yang berbeza budaya dan bahasa,” komen pengikut Instargamnya.

“Inilah sebab kenapa bahasa Melayu orang tidak mahu belajar, sebab mentaliti orang kita. Dia ingat hari ini belajar esok terus boleh fasih naik atas pentas berpidato ke? Ya Allah, macam-macam ragam manusia di Malaysia ini,” komen seorang lagi pengikut.

Terdahulu, Maryam berkahwin dengan jejaka asal Kota Bharu, Kelantan, Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim pada 15 Ogos 2019 selepas setahun mengenali hati budi masing-masing di Korea Selatan.

Pasangan suami isteri itu kemudiannya mengambil keputusan untuk pulang dan menetap di Malaysia dan kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rina, 3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI