fbpx

Buat patung mirip isteri sebagai pengubat rindu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SANDILYA sanggup berhabis sebanyak RM13,000 bagi menempah patung silikon mirip mendiang isterinya.

KASIHNYA suami sehingga ke akhir hayat. Itu mungkin adalah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan kisah seorang suami di India, yang masih mahu bersama dengan isterinya biarpun wanita itu sudah meninggal dunia.

Tapas Sandilya, 65, yang kehilangan isterinya akibat Covid-19 pada 4 Mei 2021 mempunyai cara tersendiri bagi mengabadikan kenangan bersama mendiang.

Dia telah menempah patung silikon mirip wanita bernama Indrani itu bagi menemani hari-hari sunyinya.

Menurut Sandilya, replika bernilai lebih 2,500 pound sterling (RM13,000) itu dibina sebagai memori bahawa dia pernah berkongsi hidup dengan Indrani selama 39 tahun.

Replika itu juga dibuat untuk menunaikan hasrat wanita tersebut.

“Saya amat sedih apabila Indrani meninggal dunia. Jadi, saya ‘menghidupkannya’ semula dengan membelanjakan wang bagi mendapatkan patung silikon miripnya,” ujarnya.

Patung tersebut amat mirip dengan Indrani, malah ia juga dipakaikan dengan sari berwarna kuning cair iaitu pakaian kegemaran mendiang.

Sandilya juga meletakkan patung itu di atas sofa ruang tamu kediaman mereka iaitu tempat paling disukai Indrani.

Tambahnya, Indrani mendapat idea menghasilkan patung miripnya selepas melihat patung-patung yang dipamerkan di muzium.

Indrani kemudiannya memberitahu hasratnya tersebut kepada Sandilya.

“Indrani beritahu saya bahawa sekiranya dia pergi dulu, dia mahu saya menghasilkan patung silikon sama seperti di muzium,” ujar Sandilya.

PATUNG mirip Indrani diletakkan di atas sofa ruang tamu iaitu tempat paling disukai mendiang.

Menurut laporan akhbar Times of India, pada mulanya, keluarga Sandilya menentang hasrat lelaki itu untuk menghasilkan patung yang mirip dengan mendiang isterinya.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya bersetuju memandangkan ia merupakan hasrat wanita itu sendiri.

Sandilya berkata, dia melakukan carian di dalam internet bagi mencari pembuat patung yang mampu menghasilkan rupa sama seperti dimahukan.

Dia berjaya menemui pembuat patung dikenali sebagai Das yang banyak menghasilkan patung-patung replika di muzium.

Jelas Das, proses menghasilkan patung mendiang Indrani merupakan antara projeknya yang paling mencabar.

“Cabaran paling besar, saya perlu menghasilkan patung yang mempunyai wajah dan ekspresi yang realistik iaitu sama seperti individu sebenar,” ujarnya.

Patung tersebut mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan dengan berat kira-kira 30 kilogram.

Sandilya yang merupakan seorang pesara kerajaan memaklumkan, isterinya itu meninggal dunia pada usia 59 tahun di hospital seorang diri ketika India dilanda gelombang kedua Covid-19.

Ketika itu, Sandilya dipaksa untuk melakukan pengasingan diri dan tidak berkesempatan untuk melihat mendiang isterinya buat kali terakhir.

Selain Sandilya, kira-kira tiga tahun lalu, seorang lagi lelaki di India turut menempah model patung menyerupai mendiang isterinya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Menurut orang ramai, patung silikon itu cukup mirip dengan mendiang wanita tersebut sehinggakan ada yang menyangka bahawa ia adalah orang sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI