fbpx

Pasar awam lama bakal bertukar wajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (kiri) menyampaikan angpau kepada pengunjung dan peniaga pada Program Walkabout Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan di Pasar Besar Ipoh hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal membangunkan pasar-pasar awam lama untuk dijadikan pasar warisan sekali gus menjadi produk pelancongan negara.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya akan mengkaji pasar-pasar usang di seluruh negara dengan mengutamakan pasar-pasar lama supaya ciri-ciri warisannya dapat dikekalkan.

“Contohnya, pasar awam bertaraf warisan negara di Taiping yang menjadi kebanggaan negeri Perak sedang dalam pembinaan yang akan dijangka siap pada tahun hadapan sempena ulang tahun ke-150. Diharapkan ia dapat siap sepenuhnya dan dirasmikan ketika itu.

“Pasar yang dibina pada tahun 1875 itu mampu menjadi tarikan pelancong sebab itu mengambil masa panjang untuk mereka bentuk kerana ada ciri keistimewaaan yang kita tidak boleh sewenang-wenangnya hendak robohkan, malah kayu pun kena pilih jenis sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan program Walkabout sempena Tahun Baru Cina di Pasar Besar Ipoh di sini.

Ujarnya, Pasar Warisan Negara akan mengekalkan ciri-ciri istimewa yang ada dan dibuat dengan teliti tanpa merosakkan reka bentuk asal struktur bangunan tersebut.

“Katakan ia pakai kayu cengal, kita kena cari kayu yang sama supaya ciri-ciri warisan negara itu dapat dikekalkan, pasti ia akan menjadi produk pelancongan,” katanya.

Katanya, beliau juga akan membuat lawatan di pasar warisan yang dikenal pasti termasuk Pasar Awam Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang dibina pada pertengahan 1960-an dan pernah terbakar pada 2014.

Sementara itu, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja membaik pulih dan menaiktaraf Pasar Besar Ipoh yang dibina pada 1959 disebabkan keadaannya yang usang.

“Kerja membaik pulih akan dimulakan tahun ini termasuklah bagi kerosakan wayar, lantai dan longkang dan kita akan memastikan perkara asas diutamakan dahulu.

“Kemudian kita akan merancang proses menaik taraf secara keseluruhan supaya pasar awam menjadi bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja bersih tetapi mempunyai tarikan pelancong, dan peruntukan akan disediakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI