fbpx

‘Kalau bercita-cita tinggi, patut hijrah ke luar negara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SABRI YUNUS menggalakkan penggiat seni Malaysia yang bercita-cita tinggi berhijrah ke luar negara untuk menggapai kejayaan yang lebih gemilang sekali gus membuka mata dunia.

PETALING JAYA – Melihat kejayaan ramai anakseni tempatan di luar negara, pelakon dan pengarah, Sabri Yunus menggalakkan mereka yang mempunyai impian besar supaya berhijrah ke luar negara.

Sabri atau nama sebenarnya, Mohd. Sabri Yunus berkata, beliau melihat kejayaan figura hebat seperti Tan Sri Michelle Yeoh sebagai pembakar semangat untuk para penggiat seni tanah air sama ada lakonan mahupun nyanyian membina nama di peringkat antarabangsa.

SABRI, 62, muncul dengan filem arahan terbaharunya berjudul Duan Nago Bogho yang mula menemui penonton di pawagam 19 Januari ini.

“Bagi saya, kalau orang yang bercita-cita tinggi macam Michelle Yeoh, mereka patut berhijrah.

“Sebab, di sana (Hollywood) gelanggang lebih besar. Industri Malaysia ini kecil sahaja. Kejayaan Michelle Yeoh memang wajar dan perjalanan seninya amat panjang,” katanya kepada Kosmo! Online usai tayangan perdana filem terbaharu arahannya, Duan Nago Bogho.

Terdahulu, Michelle Yeoh mencipta sejarah sebagai anak kelahiran Malaysia pertama yang memenangi trofi anugerah berprestij, Golden Globe Awards ke-80 apabila diangkat sebagai Pelakon Wanita Filem Komedi/Muzikal Terbaik.

Tambah Sabri, 62, industri seni perfileman Malaysia memerlukan lebih banyak anjakan paradigma sekiranya ingin setanding dengan negara-negara hebat dalam cabang seni tersebut.

“Untuk industri kita (Malaysia), banyak fasa atau proses perlu ditempuhi untuk mencapai ke tahap global seperti negara lain.

“Bikin filem bukan semudah dengan kata-kata. ‘Marilah kita menuju kejayaan’ dan dengan mudah, perkara itu berlaku. Tidak dan bukan begitu.

“Macam saya cakap tadi, Malaysia bukanlah industri yang besar. Kita masih merangkak dan mencari-cari. Tetapi, ada ruang-ruang yang boleh diterokai.

“Bagi saya, kita buat sehabis baik dalam kerja kita. Yang baik itu, akan menolak pergi ke atas,” ujarnya lagi optimis.

Duan Nago Bogho terbitan Kalamariff Holdings dan edaran Empire Film Solutions akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 19 Januari 2023.

Filem yang mengangkat seni tradisional Kelantan Mak Yong itu dibarisi pelakon handalan seperti Asrul Faizal, Jojo Goh, Saidi Sabri dan Datuk Rosyam Nor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI