fbpx

Fokus nyanyian, Diana Danielle impi ke Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANA DANIELLE. Foto - AFIQ RAZALI

DARI raut wajah dan intonasi suara, jelas terasa aura kebahagiaan yang membuak-buak pada pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu.

Gembira dengan kehidupan sekarang, perkataan yang berkali-kali terbit dari bibir pelakon yang memulakan kerjaya lakonannya seawal usia 9 tahun menerusi filem Idola sekitar 2002 itu.

Definisi bahagianya pada hari ini bukan sahaja tentang kehidupan berkeluarga tetapi merangkumi juga perjalanan karier dan sambutan peminat.

Itu juga yang menjadi fokus Diana pada tahun ini iaitu membahagiakan diri dengan memberi 90 peratus perhatian terhadap bidang seni suara yang amat diminatinya.

Nyanyian

“Sasaran untuk tahun ini ialah melancarkan lebih banyak lagu sebab itulah keghairahan saya pada hari ini.

“Paling baharu ialah lagu Shine yang dilancarkan pada akhir tahun lalu. Insya-Allah akan ada karya bahasa Melayu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dilancarkan,” katanya.

DIANA menyasarkan peluncuran sebuah single bahasa Melayu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Wanita berdarah kacukan Melayu-Amerika Syarikat itu juga mengakui penglibatannya dalam drama mahupun filem agak perlahan kerana memang ingin memberi fokus terhadap nyanyian.

“Seperti yang semua nampak, saya memang aktif menyanyi dan kelibat dalam drama atau filem juga memang agak sepi.

“Saya sudah berlakon selama dua dekad sejak kecil dan kini mahu beralih fokus kepada bidang yang diminati dan terpendam lama iaitu menyanyi,” tutur pelakon drama Raisha itu.

Tidak keseorangan, dia bersyukur kerana memiliki seorang suami yang sentiasa memberi sokongan terhadap semua perkara dilakukannya selama ini.

Paling mengharukan apabila Farid Kamil turut mengutarakan pandangan untuk membawa Diana ‘terbang’ ke Indonesia bagi mengembangkan kerjaya seni isteri tercinta di sana.

“Farid penyokong nombor satu dan dia juga cadangkan saya melebarkan sayap ke Indonesia seperti peluang yang diraihnya sebelum ini. Terharu sangat sebab dia sanggup berkongsi peluang tersebut bersama isterinya.

“Memang seronok jika dapat ke sana tetapi saya nak pastikan ada bahan berkualiti untuk diperdengarkan kepada negara luar, tak mahulah secara semborono.

“Bagi saya, semua yang dimiliki hari ini tidak akan menjadi realiti tanpa kebenaran daripada suami,” ujarnya.

Peminat

Selain Farid, peminat juga antara sumber kekuatan ibu kepada dua anak itu untuk terus bertahan sebagai pejuang dalam bidang seni sejak tahun 2002.

“Sepanjang berada dalam industri seni, saya rasa sangat istimewa kerana ramai peminat yang lahir pada era 1990-an datang kepada saya menunjukkan tanda penghargaan dan minat mereka.

“Paling terharu ada yang cakap mereka meminati saya sejak usia sembilan tahun dan membesar dengan filem-filem saya,” jelas Diana teruja.

DIANA bersyukur dengan setiap rasa bahagia dan setiap rezeki yang dikurniakan Tuhan pada hari ini kepadanya dan keluarga.

Tidak mampu untuk membalas setiap penghargaan yang diraih, dia hanya dapat mengucapkan terima kasih dan mendedikasikan semua karya seni buat peminat.

“Memang rasa bahagia apabila meraih banyak penghargaan dan kasih sayang daripada peminat, jadi saya ingin beri semula semua itu kepada mereka.

“Terima kasih untuk semua sokongan anda. Kerana merekalah saya terus bekerja keras dan mencuba banyak perkara baharu untuk terus berdiri dalam industri yang penuh pancaroba ini,” ujarnya lagi.

Tambah anak

Menoktahkan cerita tentang karier, wanita berusia 32 tahun itu tidak terlepas daripada diterjah dengan soalan perancangan untuk menambah cahaya mata, sementelah anak-anaknya juga sudah membesar.

Tiada niat menolak rezeki, dia menjelaskan kini berada dalam fasa untuk menormalkan hidup yang sebelum ini dilanda dengan 1,001 dugaan.

“Sebenarnya anak-anak pernah minta nak adik lagi tetapi lain pula bagi Farid.

“Buat masa sekarang, perancangan tersebut ditangguhkan sebab kami dalam fasa menstabilkan keadaan selepas bermacam hal yang dilalui dalam tempoh lima tahun ini.

“Insya-Allah, selepas semuanya sudah stabil dan kembali normal, barulah perancangan tersebut boleh direalisasikan,” kongsinya.

Pengajaran

Sempat ditanya mengenai perkongsian peristiwa hitam tentang ‘keganasan’ bekas teman lelakinya, Diana menjelasnya tiada niat untuk mengungkit kisah lama.

BUKAN menolak rezeki Tuhan, Diana dan Farid sebaliknya dalam fasa mencari kestabilan hidup selepas menghadapi pelbagai dugaan beberapa tahun lalu.

Niatnya sekadar ingin mencetuskan kesedaran kepada umum.

“Sebenarnya selepas temu bual tersebut ditayangkan, ramai yang berterima kasih kepada saya kerana ada perkara yang dibangkitkan membuatkan mereka mula membuka mata tentang keseriusan isu keganasan dalam hubungan cinta.

“Bukan hanya tentang perkara saya cakap tetapi tentang kesihatan mental, pergelutan ingin bebas dan cara untuk memulakan hidup,” jelasnya.

Tidak menjawab sama ada dirinya fobia atau tidak, Diana memberitahu perkara sebegitu harus dijadikan pengajaran buat semua pihak.

“Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan atau membuat orang lain terasa.

“Semua ada pengalaman berbeza, buatlah yang terbaik dalam hidup. Kalau tidak kuat untuk diri sendiri, lakukanlah demi anak-anak supaya mereka tidak melalui hidup penuh kekasaran dan keganasan,” kongsinya seraya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI