fbpx

Empat nelayan Myanmar, dua bot pukat tunda ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua daripada empat nelayan warga Myanmar yang ditahan APMM di Pulau Pasir Hitam, Bagan Serai semalam.

BAGAN SERAI – Sebanyak dua bot pukat tunda yang diusahakan empat warga Myanmar tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 2 dan 2.1 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam di sini sekitar pukul 11.10 hingga 11.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan
bot peronda APMM telah mengesan bot terbabit di dua lokasi yang berasingan dan ia dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan di kedua-dua bot itu menemukan, seramai empat kru nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 30 hingga 44 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot itu memiliki lesen yang sah namun bot terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 50 kilogram udang campur turut ditemui semasa pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu.

Jelas beliau, kesemua kru nelayan, bot, hasil udang campur dan peralatan menangkap ikan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ia juga disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“APMM menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

“Sebarang aduan, salah laku dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919)
atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI