fbpx

Budak lelaki dipercayai mangsa dera ditemui bersendirian tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak lelaki dipercayai warga asing ditemui dengan kesan cedera pada bahagian badan, tangan, jari dan dahi

KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki dipercayai warga asing dan mangsa dera ditemui bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran sebuah pangsapuri Cheras Utama, Batu 9 Cheras, di sini, lewat malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan kanak-kanak terbabit daripada seorang lelaki kira-kira pukul 11.30 malam.

“Pengadu berusia 36 tahun memaklumkan menjumpai kanak-kanak lelaki duduk berseorangan tanpa penjaga di tepi jalan simpang tiga berkenaan.

“Kanak-kanak berusia antara tiga hingga empat tahun itu dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dan pengadu turut menemui beberapa kesan kecederaan pada tubuh, tangan dan dahi kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zaid, kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Batu 9 oleh anggota polis Ronda Cegah Jenayah (RCJ) untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, pihak polis gagal menemukan sebarang butiran atau dokumen pengenalan diri mangsa.

“Kami mengesyaki mangsa merupakan anak warga negara asing kerana tiada mempunyai sebarang kesan suntikan vaksin di bahu dan mangsa juga tidak memahami serta tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa tempatan.

“Mangsa dirujuk dan ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang dan dilaporkan berada di dalam keadaan sihat serta stabil.

“Mangsa kini dibawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Langat,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mempunyai elemen penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Zaiyaudi Mohd. Yaakub di talian 019-535 5395 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI