fbpx

Kekalkan status wanita Islam adalah pengiktirafan terhadap Mahkamah Syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan status agama Islam terhadap seorang wanita berusia 37 tahun, dilihat sebagai pengukuhan pengiktirafan terhadap Mahkamah Syariah.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, ini termasuk kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan di Malaysia yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat.

“MAIS menzahirkan syukur dan menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan ini.

“Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan proses mahkamah dan sentiasa menghormati kedudukan Mahkamah Syariah sebagai suatu institusi keadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini, telah membenarkan rayuan perayu iaitu MAIS dan Kerajaan Selangor dengan memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 20 Julai 2017 yang memuktamadkan status agama Islam seorang wanita yang telah didaftarkan sebagai muallaf pada tahun 1991, adalah suatu keputusan yang mengikat responden.

Dalam keputusan itu, Hakim Datuk Yaacob Md. Sam dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali secara majoriti bersetuju dengan pihak perayu manakala Hakim P. Ravinthran berbeza keputusan.

Jelas MAIS, dalam kes tersebut, ibu wanita itu telah mendaftarkan pengislaman responden semasa dia masih kecil dan suatu perakuan memeluk Islam telah dikeluarkan atas nama responden pada 17 Mei 1991.

Responden kemudiannya telah pun memfailkan permohonan pengisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang Islam di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) bagaimanapun ditolak mahkamah dan mengisytiharkan responden sebagai seorang yang menganut agama Islam pada tahun 2017.

“Dalam keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, mahkamah bersetuju bahawa cabaran terhadap keputusan Mahkamah Syariah tersebut ke Mahkamah Tinggi Sivil adalah bersifat ‘res judicata’ dan satu penyalahgunaan proses mahkamah oleh responden.

“Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam tidak boleh mengubah atau mengakas keputusan yang telah diputuskan secara sah oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perkara ini bercanggah dengan Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI