fbpx

Naik taraf jambatan Sungai Kerian siap Februari 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (dua, kiri) ketika lawatan di tapak projek naik taraf jambatan merentasi Sungai Kerian, Nibong Tebal, di sini hari ini. GAMBAR/ IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Kos projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Kerian dan membina jejambat persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian di Seberang Perai Selatan (SPS) di sini dijangka tidak berubah meskipun berlaku sedikit kelewatan ketika ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM209 juta itu bermula sejak Julai 2021 dan mengalami kelewatan fizikal sebanyak enam peratus atau kira-kira 45 hari iaitu sehingga 31 Disember lalu.

Menurutnya, kelewatan itu disebabkan masalah pengambilan semula tanah iaitu sebuah rumah ibadat untuk menyiapkan projek tersebut.

“Jadi, maknanya, bukanlah terlewat teruk kerana ia masalah dengan pengambilan tanah dan masalah itu telah diselesaikan di peringkat ‘stakeholders’ (pemegang taruh).

“Justeru, kita berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat dan projek juga akan berjalan lancar selepas itu serta siap menjelang Februari 2025 nanti,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, di sini petang tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, skop utama projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala dengan piawaian U5 sepanjang 1.35 kilometer (km).

“Projek ini bakal membantu penyuraian trafik di sebahagian FT001 dari Pulau Pinang ke Perak.

“Ia bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan pada waktu puncak, malah turut mengatasi masalah banjir kilat sekali gus menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna laluan tersebut,” katanya,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI