fbpx

Empat nelayan Myanmar kendali bot tempatan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT nelayan Myanmar kendali bot warga tempatan ditahan di perairan Muka Head, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia Pulau Pinang menahan empat nelayan warga Myanmar selepas dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Tanjung kira-kira pukul 10.10 pagi.

Menurutnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 70.3 kilometer barat laut Muka Head.

”Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan empat warga Myanmar termasuk tekong berumur 31 hingga 51 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.

”Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki dokumen diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 500 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

”Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

”Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI