fbpx
KUMPULAN iamNEETA

Dedikasi sedekad, pejuang Depresi iamNEETA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANYAK liku yang sudah dilalui kumpulan muzik iamNEETA sepanjang perjalanan memahat nama sebagai pejuang seni selama sedekad.

Namun, semua hal yang pahit disimpan rapi dalam kamus kerjaya kerana bagi mereka, itu merupakan resam yang harus dihadapi untuk berada pada tahap sekarang.

Dianggotai oleh Neeta Manis selaku vokalis, Patrick Anohada (gitar) dan Anas Zakwan (bass), iamNEETA menghadiahkan sebuah single baharu berjudul Depresi buat peminat.

Buah tangan tersebut juga menjadi simbolik sempena 10 tahun penubuhan band berkenaan.

Kesihatan mental

Depresi merupakan sebuah lagu yang didedikasikan kepada pejuang penyakit tersebut yang saban hari semakin bertambah bilangannya dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Menyedari realiti tersebut, iamNEETA mendedikasikan mesej kesedaran mengenai depresi menerusi sebuah karya muzik berentak pop.

Menurut Neeta, Depresi yang merupakan hasil ciptaan Patrick itu juga sebagai tanda prihatin terhadap golongan yang menghidapi masalah kesihatan mental.

IAMNEETA bersyukur kerana lagu-lagu mereka masih menguasai carta platform penstriman digital muzik seperti Spotify.

“Kami kerap muncul dengan lagu tentang cinta, jadi sempena ulang tahun penubuhan ke-10, iamNEETA memilih untuk menyalurkan mesej lebih berat iaitu tentang kesihatan mental.

“Ditambah pula, ramai yang menghidapi masalah tersebut dan inilah masa terbaik untuk kami sebarkan mesej kesedaran mengenainya kepada masyarakat,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dia menjelaskan, bukan mudah untuk mereka menghasilkan sebuah lagu yang mengetengahkan isu kesihatan mental kerana khuatir menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Awalnya memang risau juga nak lancarkan lagu ini kerana bimbang dengan cara penerimaan ramai terutama berkaitan kesihatan mental.

“Selepas diolah, akhirnya Depresi kedengaran agak ringan, liriknya juga ditapis supaya tidak terlalu sensitif. Kami juga elak menggunakan sebarang visual sensitif dalam video muzik.

“Ingin ditegaskan, kami bukan antara penghidap penyakit ini tetapi mesejnya diambil berdasarkan pengalaman dan kisah individu sekeliling,” jelas pemilik nama penuh Neeta Manishaa Manogaran berkenaan.

Konsert, Indonesia

Sama seperti pemuzik lain, iamNEETA turut menanam impian untuk mengadakan konsert sulung selepas sedekad memperjuangkan muzik bergenre alternatif rock.

Bukan tidak pernah dibincangkan, namun pelbagai kekangan yang timbul memaksa impian tersebut tertangguh sehingga ke hari ini.

Akan direalisasikan tidak lama lagi, Anas memberitahu, mereka dijangka mengadakan sebuah persembahan istimewa atau showcase sekitar Mac depan.

KUMPULAN yang ditubuhkan sejak 2011 ini turut mengimpikan untuk ‘terbang’ ke negara seberang bagi melebarkan sayap muzik mereka. – SADDAM YUSOFF & NAR RECORDS

“Nama iamNEETA tidaklah gah seperti band ternama lain tetapi kami syukur kerana masih ada kelompok peminat sendiri.

“Dengan berbekalkan 13 buah lagu, insya-Allah kumpulan iamNEETA akan menghadiahkan sebuah persembahan istimewa untuk peminat yang sentiasa menyokong selama ini,” tuturnya.

Selain konsert, menembus pasaran Indonesia juga antara yang masih belum menjadi realiti sehingga hari ini.

Ujar Anas, melebarkan sayap ke Indonesia bukan satu perjalanan yang mudah terutama bagi kumpulan muzik memandangkan persaingan di sana juga sangat sengit.

“Di Indonesia sendiri memang ada lambakan kumpulan muzik dan untuk band Malaysia masuk ke sana sebenarnya agak susah.

“Bukan tidak mencuba, tetapi lebih baik kami memperkukuhkan dahulu nama iamNEETA termasuk kualiti vokal dan lagu sebelum cuba pasaran di sana.

“Jika ada rezeki dan peluang untuk terbang ke negara jiran, kami tidak akan menolak,” jelasnya panjang lebar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN